Tukang urut

RAMAI juga pesakit saya bertanyakan berkenaan mengurut. Adakah boleh diamalkan atau tidak? Istilah english disebut massage, manakala bahasa perubatan disebut myotherapy.

Advertisement

drsuhazeli2Bagi saya, tiada masalah besar pesakit mendapatkan khidmat tukang urut. Urutan urat luaran boleh melegakan badan, membantu hilangkan kesakitan ibarat seperti gosok. Namun ianya memerlukan teknik yang betul. Di Australia, terdapat pengijazahan khusus diberikan dalam ilmu urut mengurut ini.

Dalam kes-kes tertentu saya tidak mengesyorkan pesakit berjumpa tukang urut. Contohnya patah tulang, kekadang urutan boleh menyusahkan rawatan lanjut. Tukang urut yang gunakan tukul itu mengarut, bukan tukang urut tetapi tukang rumah. Walaupun benar ramai pesakit yang katanya berjaya dirawat oleh tukang urut patah, tetapi kebanyakannya adalah tidak sempurna. Patah akan bercantum juga akhirnya tetapi tidak sama alignment dan kesakitan kronik berlaku. Begitu juga kepada ibu hamil, mengurut bahagian perut, berisiko perdarahan uri dan kandungan akan mati. Jika urut bahagian lain, tiada masalah besar.

Mengurut ini juga bukan mengurat. Sebab itu agama melarang mengurut berlainan jantina. Ustaz Ahmad Tarmizi Taha, pensyarah kanan UniSZA pernah menulis: Wanita haram mengurut anggota badan lelaki ajnabi yang telah baligh melainkan ketika situasi hajah atau daruroh. Begitu juga sebaliknya. Maksud hajah ialah keperluan yang jika tidak wujud menyebabkan seseorang itu menghadapi kesusahan. Daruroh ialah keperluan yang jika tidak wujud menyebabkan seseorang itu mengalami kesusahan yang teruk seperti kehilangan nyawa atau aqal atau seumpamanya.

Bagaimana pula urut batin alat kelamin? Setakat ini tiada lagi pesakit tampil untuk menyatakan sokongan positif. Ada kajian tak? Pun saya tak pasti. Jika para pembaca semua ada pengalaman bolehlah kongsi. Saya yakin urut alat kelamin ini tidak menggunakan tukul tukang rumah.

Suhazeli.com
Fb.com/drsuhazeli
14.11.2017
Seberang Takir – HARAKAHDAILY 14/11/2017