Bina arus politik baru, tenggelamkan kapsul masa lama

PERLU untuk semua pendokong perjuangan PAS dan penyokongnya supaya memahami halatuju yang dibawa oleh kepimpinan yang diterajui oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Tuan Guru dengan suasana semasa, amat gigih untuk membawa semua mendokong Islam supaya membina ‘Politik Baru’ yang menyerlahkan keistimewaan dan kedinamikan (murunah) Islam.
 
Hakikat Semasa
 
Ketika ini, suasana politik yang ada seakan mengheret kepada masa lampau, seolah-olah tidak mahu bergerak ke hadapan. Antara sebabnya, adalah para pelakon politik dinasour masih lagi memimpin dengan isu-isu lama. Isunya bukan orang lama, tetapi orang lama dengan pemikiran dan kepentingan lama. 
 
Maka, tidak hairan jika timbul semula isu-isu seperti ‘Memali’, ‘Amanat Haji Hadi’, ‘Kafir-mengkafir’, ‘Siapa Perdana Menteri selepas ini?’ dan beberapa isu lain yang timbul sekitar 20 hingga 30 tahun dahulu.
 
Kesannya, pemikiran politik semasa tidak berkembang dan tidak menuju kepada kemajuan. Pertelingkahan bukan membina negara, tetapi sekadar buruk-memburuk yang lain untuk menghilangkan rasa tidak puas hati atau segala dendam lama.
 
Menganjak Paradigma Baru
 
Walaupun Tuan Guru sezaman dengan pemimpin-pemimpin lama yang ada hari ini, namun pemikiran politik yang diperjuangkannya menunjukkan kemajuan selari dengan zaman. Sewaktu zaman tertindas dengan teruk, pendekatan berbeza. Apabila masa memberi ruang, timbul gagasan baru dan apabila menempuhi cabaran terkini, perlu pendekatan terkini meliputi pemikiran dan pendekatan politik yang menyerlahkan kedinamikan dan keistimewaan bergerak dengan Islam sebagai dasar perjuangan. Islam yang datang membawa rahmat kepada pembawanya dan juga yang menyambut dakwahnya. Bermakna, Tuan Guru telah menganjak kepada paradigma baharu dalam siyasah dakwah ditampilkan PAS.
 
UG: Cadangan Kehadapan
 
Antara contoh paradigma yang cuba difahamkannya kepada umum, serta betapa perlunya kita bersedia di era ini, bahawa tiada parti politik yang benar benar kuat atau solid untuk membentuk kerajaan dengan sendiri. Apatah lagi mewarisi sistem demokrasi British yang lama. Kemenangan sekadar majoriti mudah tidak menjanjikan kestabilan jangka masa panjang. Cabaran sosial rakyat dan ekonomi rakyat akan menjadi faktor yang besar dalam pertembungan mendapat sokongan umum.
 
Presiden PAS mendatangkan cadangan Unity Government (UG) tersebut di awal ketika gabungan Parti Pembangkang iaitu Pakatan Rakyat mula berebut kedudukan dan kepentingan masing masing. Kepentingan rakyat tidak lagi nampaknya didahulukan. Sebaliknya menampakkan perebutan kuasa dan jawatan sepertimana dalam kes Langkah Kajang dan menamakan Perdana Menteri sekiranya berkuasa. Objektif perjuangan dikaburkan dengan remeh temeh bayangan yang belum lagi dapat digenggam.
 
Majoriti Peneraju Keadilan Kuasa
 
Presiden PAS berkali kali menegaskan bahawa Islam agama yang sangat sesuai dengan sistem politik damai semasa. Keharmonian sosial dan politik semasa, sangat bergantung kepada keteguhan kumpulan majoriti atau bangsa majoriti. Ini selari dalam sejarah Islam, apabila untuk menentukan pengganti Nabi Muhammad S.A.W dalam memimpin umat Islam, maka para Sahabat Nabi tunduk kepada Hadis yang dibaca oleh Saidina Abu Bakar bahawa “Kepimpinan/imamah daripada Quraisy“.
 
Kalam yang perlu difahami bahawa Quraisy ketika itu adalah kabilah majoriti yang memeluk Islam dan memimpin Islam. Yang indahnya, Islam tidak mengenepikan minoriti, malah menjadi tanggungjawab golongan yang majoriti memastikan keadilan diterapkan dalam mengurus sosial dan politik masyarakat sekeliling.
 
Presiden PAS menerangkannya dengan logik yang mudah dalam satu artikel beliau “Mengapa Kalau Islam Tidak Boleh?” Tidak pernah golongan Kapitalis yang menang akan melantik golongan yang lain menjadi ketua dan memegang amanah. Begitu juga Sosialis atau Komunis. Ataupun seperti Republikan dan Demokrat di Amerika dan juga yang berlaku di mana-mana tempat lain.
 
Tuan Guru Abdul Hadi menjelaskan paradigma semasa yang sangat sesuai iaitu dengan menerima Islam sebagai penyelesaian dan pemimpin politik zaman ini. Bererti, dengan Islam, keadilan dan keharmonian tetap bergantung kepada kuasa di tangan majoriti, bangsa atau kumpulan.
 
Teknokrat: Tangani Pengurusan Negara
 
Presiden PAS sekali lagi membawa kepada idea mendahulukan menyelesaikan masalah negara dan rakyat. Tatkala yang lain sibuk dengan calon Perdana Menteri atau siapa menang dan siapa kalah, beliau mengajak semua yang peka terhadap kebajikan dan masalah negara untuk menyelesaikan dengan isu secara lebih besar dan menyeluruh. Kerajaan BN-Umno sekarang perlu mengajak rakyat yang mampu membantu membaiki masalah negara tanpa memikir sempadan politik atau masalah lain. Beliau telah mengemuka idea Kerajaan Teknokrat sebagai cadangan penyelesaian terhadap isu pengurusan profesional dalam menangani isu-isu negara.
 
Sepertinya, pimpinan negara yang dipimpin Datuk Sri Mohd Najib Abdul Razak seolah-olah mengambil idea ini apabila terdapat pelantikan tertentu kerajaan buat masa ini diberi pada orang yang layak dan menepati kriteria, walaupun mungkin tak sepenuhnya. Orang muda banyak diberi peluang dalam banyak sektor. Mungkin ini pendekatan untuk beliau mengukuhkan kedudukan, namun tidak boleh disalahkan kepada polisi Najib Razak sekiranya itu yang menyebabkan rakyat mendapat keyakinan balik kepada kepimpinan beliau.
 
Kesatuan Dunia Islam: Gagasan ‘Evergreen
 
Presiden PAS adalah antara pemimpin Gerakan Islam dunia dengan punyai hubungan istimewa dengan Allahyarham Necmettin Erbakan yang telah mengorak jalan baru dunia Islam Moden. Erbakan bersama pemimpin negara Islam lain mewujudkan Negara D8 yang dianggotai oleh negara negara Islam membangun untuk membina komuniti sendiri. Gagasan tersebut telah memberi sedikit kesan kepada dunia Islam hari ini.
 
Tuan Guru Abdul Hadi sentiasa mendorong dunia Islam supaya tidak terpengaruh dalam proses pecah perintah musuh dan kuasa-kuasa politik lain. Mengingatkan dunia Islam bahawa sengketa mazhab negara-negara Islam yang berlaku merugikan umat Islam, sebaliknya menguntungkan Israel dan pakatan Zionis.
 
Beliau mengambil risiko nama dikeji dan dihina dalam menyatukan umat Islam seperti menyertai persidangan di Tehran dan sebagainya. Pun begitu, kebenaran pendapat beliau sememangnya terbukti hari ini dalam kes-kes yang berlaku di Syria, Yemen dan di negara negara Islam lain.
 
Ayuh Pendokong PAS!
 
Kita semua kena anjakkan diri kita untuk meninggalkan duri-duri dan kemuncup politik yang membawa kita ke belakang. Usah peduli kepada cerita cerita 20 atau 30 tahun yang menyebabkan kita bernostalgia tanpa maju. Tinggalkan dinasour-dinasour politik dan bergerak ke arah baru. Mereka yang tak mahu bersama, usah dipeduli. Puji tidak, maki pun tidak. 
 
Presiden kita Tuan Guru Abdul Hadi Awang telahpun menunjukkan teladan iaitu untuk membina arus politik semasa dan bukannya tenggelam dalam arus ‘kapsul masa’ lama. Maka, marilah ikut bersama membina pemikiran politik baru dan seterusnya memimpin dengan kedinamikan dan keistimewaan Islam.
 
AHMAD HAKIMI OTHMAN
Ketua Pemuda 
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Selangor
3 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 3/1/2017
Advertisement