Di FB dia menulis, di akhirat dia muflis

niknas

KITA berada di bulan Ramadhan. Puasa sepatutnya membentuk taqwa dalam diri. Taqwa adalah rumusan dari menjunjung perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Perintah dan larangan pula sangat banyak. Di antara larangan itu ialah fitnah, menuduh tanpa bukti dan mengada-adakan cerita yang tidak benar.

Advertisement

Pilihan raya sudah berlalu. Namun fitnah pemimpin PAS menerima RM90 juta dari Umno masih dimainkan. Ia tersebar dan disebar di alam maya. Senarai nama pemimpin besar PAS terpampang lagi.

Presiden PAS telah mengambil tindakan mahkamah di London bagi membersihkan nama dari fitnah ini. Sebahagian dari prosesnya memberi kelebihan kepada Presiden PAS. Bakinya menunggu masa.

Ada yang sangat rajin memuatnaik artikel, keratan akhbar dan gambar yang diambil separuh, diedit dan ditokok-tambah di Facebook, WhatsApp dan lain-lain media sosial. Fitnah menjadi makanan harian mereka. Barangkali setiap malam sebelum tidur, orang ini akan meletakkan tangannya di dahi, berfikir, apa agaknya yang akan aku muatnaik dalam media sosial ini untuk terus memfitnah pemimpin PAS ini. Isu GST? Isu RM90 juta? Isu UG dengan Umno?

Nabi SAW pernah bertanya kepada para sahabat tentang orang yang muflis. Para sahabat menjawab orang muflis itu yang tiada dinar dan dirham. Nabi membetulkan kefahaman para sahabat dengan mengatakan orang muflis itu ialah yang datang di akhirat dengan pelbagai taat-solat, puasa, sedekah dan lain-lain, tetapi dalam masa yang sama memfitnah orang itu, mencela orang ini, menzalimi orang lain. Hujungnya ialah tiada amal soleh untuk dibayar, melainkan kejahatan orang itu pula dicampak di atas bahunya dan ia dihumban dalam api neraka.

Bukankah lagi baik kalau ia duduk diam, membaca Al-Quran di bulan Ramadhan, dari menulis fitnah-fitnah di FB nya?

Kesian orang ini. Perutnya lapar di bulan Ramadhan, tekaknya haus, tetapi tiada pahala puasa untuknya kerana qaul azzur (perkataan bohong yang direka). Lebih dahsyat, apabila dia menjadi orang muflis di akhirat dengan sebab tulisannya di dunia yang menyebabkan dia akan menjadi bahan bakar api neraka. Nauzubillah.

Kata pembaca TV, Dunia Jam 10: ‘Fikir-fikirkanlah’ – HARAKAHDAILY 22/5/2018

Penulis ialah Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu dan Timbalan YDP PAS Kemaman.