Gerhana bulan terpanjang, malam hari jadi saya

SYUKUR. Malam gerhana bulan yang terpanjang seabad ini terjadi pada malam hari jadi saya yang ke-78. Dua tahun lagi jika ada usia jadilah saya 80 tahun.

Advertisement

Langsungnya gerhana itu di angkasa Australia tetapi meliputi hingga ke angkasa Malaysia, bermula di Malaysia sekitar pukul dua pagi membawa ke pukul tujuh. Pagi hari jadi saya itu redup dan diikuti hujan lebat dari pukul 10 pagi.

subkyTiada apa hubungan gerhana itu dengan hari jadi saya. Bukan kerana hari jadi saya gerhana itu berlaku. Dengan kebesaran dan izin Allah tiga cakerawala yang terkesan dengan manusia – matahari, bumi dan bulan – berada sebaris dan bumi di tengah. Maka pantulan cahaya matahari ke atas bulan yang menghadap ke alam kita terlindung oleh bayang bumi. Lalu gelaplah ia yang sepatutnya terang pada kita.

Kaum jahiliah dulu dan sekarang berkata begitu dan begini tentang bumi dan bulan atas kejadian gerhana itu, tetapi umat Islam menumpukan kebesaran dan kebijaksanaan Allah yang mencipta bumi dan bulan yang digerhana itu dengan mendirikan solat sunat muakad dan membanyakkan bertasbih.

Saya syukur atas gerhana itu yang terjadi bukan kerana menyambut hari jadi saya, tapi saya ada peluang menyambut hari jadi pada hari gerhana terpanjang itu.

Kami sekeluarga tidak membuat sebarang sambutan pada hari jadi itu. Saya pun tak ingat melainkan seorang anak ucap selamat hari jadi selepas solat fajar.

Syukur yang tidak terhingga atas kejadian itu kerana menyambut hari jadi saya dengan solat sunat khusuf di dataran terbuka KUIZM Taman Melewar, Kuala Lumpur. Syukurnya kerana dapat memulakan hidup 78 tahun itu dengan solat gerhana bulan dan mendengar khutbah.

Gerhana itu tidak hebat dan tidak ajaib. Yang ajaib ialah Allah yang mencipta bumi, bulan, matahari dan gerhana itu.

Ia mengajak kita memerhatikan tentang ciptaan Tuhan tentang makhluk-Nya yang tidak pernah ingkar kepada Sang Pencipta sejak mula penciptaannya mungkin lebih lama dari trilion tahun dulu.

Samalah dengan kesetiaan malaikat yang tidak pernah melanggar apa jua yang Allah titah. Bumi dan bulan sejak dicipta terus menerus beredar mengikut orbitnya, tiada henti-henti barang sedetik. Itulah kepatuhan makhluk itu. Tidak pernah bumi dan bulan lalai dari ibadatnya.

Adapun kita manusia, Adam dan keturunannya, istimewanya dimaklumkan Allah kapada malaikat. Tidak diketahui ada lain makhluk Allah maklumkan bakal penciptaannya kepada malaikat. Untuk ciptaan bumi dan bulan memadai disebut saja Kun faya kun.

Tetapi manusia tidak senasib dengan bulan dan bumi yang tidak tergelincir dari kepatuhannya, bahkan makhluk manusia itu terdedah kepada kesetiaan atau keingkaran, beribadat atau tidak beribadat, pelupa dan ingatkan Allah sepenuhnya, taqwa atau derhaka. Pernah manusia ditransitkan di syurga, justeru kelemahannya, Allah pindahkan ke bumi jadi tempat kediaman tetapnya, di bumilah dia mati dan di bumi juga dibangkitkan kembali.

Adapun iblis yang lebih tua daripada manusia, pernah berada di syurga, justeru sombongnya dan bencinya kepada manusia, ia memilih jadi penderhaka tegar kepada Allah. Diusir dari syurga kerana syurga bukan tempat makhluk penyombong.

Paling istimewa ialah makhluk malaikat tidak terabai kepatuhan kepada Allah, sama seperti bumi dan bulan beredar yang Allah tentukan. Bila diperintahkan gerhana, bulan gerhana. Padanya adalah tanda kebesaran Allah. Kita syukur kerana menyaksikan gerhana terpanjang di abad ini. – HARAKAHDAILY 1/8/2018