Krisis Somalia-Somaliland dan rancangan Barat

NEGARA-negara yang ‘dimiskinkan’

Apabila kita meneliti geografi negara-negara Umat Islam kita akan dapati bahawa negara-negara ini adalah negara yang ‘sepatutnya’ kaya. Kaya dengan sumber bumi petroleum, dan sebagainya, khususnya di Benua Afrika. Namun negara-negara ini dipotretkan sebagai negara yang huru-hara, negara yang miskin, mundur, kebuluran, peperangan dan sebagainya.

Ke manakah hilangnya hasil kekayaan bumi mereka? Kenapakah negara-negara itu huru-hara? Jawapan saya cuma satu, iaitu ‘Tangan Ghaib’. Tangan ghaib bukanlah bermaksud teori Kapitalis ciptaan Adam Smith (invisible hand), akan tetapi ‘tangan’ bermaksud ‘kuasa’ sepertimana yang dihuraikan di dalam ilmu balaghah. Manakala ‘ghaib’ bermaksud ‘tidak terlihat’.

Secara umumnya apa yang saya maksudkan ialah kuasa-kuasa besar yang bercita-cita untuk merembat harta kekayaan negara Umat Islam, dan juga membina empayar kekuasaan mereka. Di dalam teori yang biasa mereka gunakan ialah ‘siapa kuasai ekonomi, dia akan kuasai dunia’. Lantas teori ini diaplikasikan dalam bentuk imperialism atau aplementasi sebagai sistem.

Sepertimana yang saya sebutkan sebelum ini antara negara yang menjadi mangsa agenda Barat ialah Sudan. Baru sahaja Presidennya digulingkan, hanya dengan alasan-alasan bodoh. Anak-anak muda sudah jadi seperti robot, hanya berkiblatkan pengaruh internet yang tidak tahu siapa pemain sebenar di belakang internet itu. Antara negara yang hampir senasib dengan Sudan ialah Somalia.

Sejarah awal Somalia dan penjajahan

Somalia merupakan negara majoriti rakyatnya Muslim 99 peratus dan lokasinya cukup strategik di Tanduk Afrika. Strategiknya itu menyebabkan negara ini awal-awal lagi telah dihuru-harakan. Dari segi sejarah, Somalia mungkin berasal dari tanah tinggi Habsyah (Ethiopia) dan telah dimasuki oleh Arab pada abad ketujuh Masihi. Tarikh itu merupakan tarikh hijrah para Sahabat R.A ketika zaman Nabi Muhammad S.A.W iaitu pada 614 Masihi.

Dari situ berkembangnya Islam sehinggalah bermulanya era penjajahan imperialism yang  mengakibatkan negara-negara di situ dipecah-pecahkan oleh penjajah. Pada 1888 negara itu dibahagikan sesuka hati oleh kuasa-kuasa Eropah. Antaranya Perancis mendapat kawasan sekitar Djibouti, Britain mendapat di bahagian Utara, manakala Itali mendapat Puntland dan kawasan Somalia

Sayyid Muhammad Abdullah Hassan atau dikenali Sayid Maxamed Cabdulle Xasan (1868-1920) antara pimpinan Somalia yang  telah berperang melawan British selama 20 tahun. Beberapa catatan menceritakan bahawa perang bersenjata yang dipelopori oleh beliau bermula setelah sekumpulan kanak-kanak dikristiankan oleh penjajah. Lalu beliau menubuhkan Dervish dan bertindak memerangi penjajah.

Di satu daerah yang lain, wujudnya Kesultanan Warsangali yang merupakan sebuah empayar yang berpusat di Timur Laut dan di beberapa bahagian Tenggara Somalia. Ia adalah salah satu kesultanan terbesar yang pernah ditubuhkan di wilayah itu yang diasaskan pada era 12 dan 13 oleh sekumpulan Somalia. Setelah berlalu zaman yang panjang, tertubuhnya  Kesultanan Migiurtinia pada era 18 betul-betul di penghujung Somalia Timur.

British, Itali dan persengketaan

Pemerintahan itu tidak dapat lari daripada  beberapa konflik dalaman pada pertengahan 18. Perebutan kuasa antara Boqor Osman dan Ali Yusuf Kenadid menyebabkan Kenadid dibuang ke Yaman. Boqor Osman menang dalam konflik tersebut dan terus meneraju Kesultanan Migiurtinia. Kenadid tidak berdiam diri. Beliau kumpulkan kekuatan dan bertempur di Selatan (sebelah Barat luar Kesultanan Migiurtinia) sehingga mengagaskan Empayar Hobyo pada 1878.

Hobyo bersebelahan dengan Migiuritinia telah memeterai perjanjian dengan Itali pada 1888 dan diikuti oleh Migiuritinia pada tahun berikutnya. Seolah-olah kedua-dua sengketa ini boleh duduk semeja dengan Itali, selaras dengan susunan perancangan Imperialis yang saya nyatakan di awal tadi. British ketika itu bersengketa dengan geng Dervish yang dikepalai oleh Sayyid Abdullah Hassan.

British berpakat dengan Itali untuk membenarkan mereka ceroboh wilayah Hobyo atas alasan sengketa dengan Dervish tadi. Tetapi Kesultanan Hobyo berkeras untuk tidak memberi keizinan, menyebabkan hubungan Hobyo dan Itali mulai meretak. Peperangan meletus di Hobyo dalam beberapa siri sehingga memaksa Itali mengimport tentera dari Eritrea. Itali ketika itu dikepalai oleh De Vecchi.

De Vecchi mengambil pendekatan menabur dedak kepada sesiapa sahaja yang bersedia menggadaikan maruah untuk bersama Itali. Pertempuran berterusan antara Itali dan Hobyo yang dikepalai Omar Samartar dan akhirnya Omar terpaksa berundur. Setelah berlakunya sengketa yang panjang akhirnya plan imperialism berhasil apabila terpecahnya Somalia menjadi Somaliland Itali dan Somaliland Britania.

Somaliland Britania, Somaliland Italia dan Republik Somalia

Somaliland Itali merujuk kepada kawasan Timur hingga Selatan (1889), manakala Somaliland Britania di bahagian tengah hingga Utara (1880). Kedua-dua negara ini berterusan dengan krisis sekalipun diperintah secara berasingan seterusnya berhadapan dengan Perang Dunia Pertama dan Kedua. Di akhir krisis kawasan Eithopia, Dijibouti, Eriteria, Somaliand Britania, Somaliland Itali kesemuanya habis disapu dan ‘dianugerahkan’ kepada Itali.

Lalu terbentuklah Afrika Timur Itali (1936-1941). Kemudian bertukar tangan di bawah pemerintahan British pada 1941-1949. British berkuasa di kawasan Somaliland Britania dan Somaliland Itali selama 9 tahun. Bermula 1950 kedua dua kawasan ini berada di bawah PBB dengan beberapa ketetapan. Akhirnya pada 26 Jun 1960, diberikan kemerdekaan kepada kedua-dua kawasan tersebut, dan bergabung membentuk Republik Somalia.

Walaupun telah ‘dianggap’ bergabung namun wujudnya ‘tangan ghaib’ untuk meniupkan ketidakpuasan hati. Kawasan tengah hingga Utara atau dipanggil kumpulan Somaliland, merasa tidak puas hati terhadap ketetapan pemerintah yang berpusat di Selatan Somalia. Somalia secara keseluruhannya dipotretkan sebagai terlalu banyak memberi kepentingan Selatan dan Timur Somalia berbanding kawasan tengah dah Utara.

Hasil usaha tangan ghaib ini, pada 1981 Hasan Adan Wadadi menubuhkan Somali National Movement (SNM) di London, bertujuan melancarkan pemberontakan terhadap pemerintahan Siadd Barre yang dianggap sebagai diktator. SNM banyak didalangi oleh orang-orang Arab-Somalia yang berada di luar Somalia, antaranya di Arab Saudi dan UK. Sejak kemunculan SNM hinggalah kejatuhannya menyaksikan perang saudara yang dahsyat selama 10 tahun.

Pengunduran Siadd Barre dan campur tangan PBB

SNM menerima ‘dana-dana luar’ beroperasi  untuk menjatuhkan Siadd Barre. Kemuncak pertembungan antara 1987-1990 menyaksikan SNM mendapat ‘saham’ daripada beberapa kumpulan iaitu Somali Salvation Democratic Front (SSDF) yang ada sejak 1978 Somali Patriotic Movement (SPM) yang diaktifkan pada 1989 dan United Somali Congress (USC) yang ditubuhkan pada 1987. Matlamat yang satu iaitu menjatuhkan Siadd Barre

Pada 1990 Siadd Barre melarikan diri, dan terbinalah kerajaan baru pada Januari 1991 yang diisytiharkan oleh USC. Pada Mei tahun yang sama USC mengumumkan negara baru yang merdeka, Republik Somaliland. Namun pengumuman ini ditentang oleh rakannya SPM dengan alasan Republik Somaliland adalah bentuk perpecahan Somalia. SNM pula mengambil pendekatan ‘tidak mahu dikenali’.

Pada 1991, Somalia dilihat sebagai negara yang berpotensi untuk penghasilan minyak dan gas, di samping itu, Somalia berada di lokasi strategik di Tanduk Afrika. Maka, tidak pelik pada 1992 PBB yang diketuai oleh Amerika mula campur tangan dan berlakunya pertembungan yang sengit dengan USC. PBB bertempur di Somalia tak lama, pada 1995 mereka pulang. Dari segi angka kematian USC jauh lebih besar berbanding PBB.

Sejak daripada penarikan PBB daripada Somaliland, terbentuknya Putland pada Julai 1998. Trend dunia pada 2001 adalah tempoh Amerika memerangi pengganas. Somalilad atau Somalia tidak terlepas daripada agenda itu. Amerika melihat bahawa Somaliland atau Somalia merupakan tempat yang sesuai untuk menternak ‘tentera-tentera’  pengganas atas nama Islam. Peperangan dicetuskan atas nama mazhab seperti Wahhabi, Jihadis dan sebagainya.

Tempat menyuburkan keganasan dan penglibatan CIA

Di pertengahan kurun ke-21, mula subur pertembungan mazhab. Contohnya kemunculan Alliance for the Restoration of Peace and Counter-Terrorism (ARPCT) yang mendapat tajaan USD100k hingga USD150k sebulan daripada CIA. Dalam masa yang sama wujudnya geng Ahlu Sunna Waljama’a (ASWJ) yang ditubuhkan untuk memerangi Wahhabi.

ARPCT dan ASWJ dilihat berapa dalam satu aliran iaitu menentang haluan kiri seperti Islamic Courts Union (ICU), Oromo Liberation Front (OLF), Alliance for the Re-liberation of Somalia, Al-Shabaab, Ras Kamboni Brigades, Jabhatul Islamiya dan Muaskar Anole. Masing-masing ditubuhkan sekitar 2005-2007. Masing masing seolah-olah berebut-rebut untuk menjadi jaguh dalam persaingan ini.

Era 2009 hingga ke hari ini pergolakan semakin sengit dan rumit. Antaranya Al Qaeda dan ISIS yang dikenali sebagai tajaan Amerika. Somalia, Somaliland, Eritrea, Djibouti dan Putland merupakan tempat yang mendapat perhatian kuasa-kuasa dunia kerana lokasinya strategik di Tanduk Afrika dan potensi minyak. Antara kuasa luar yang terlibat seperti UAE, Turki, China, Arab Saudi, Perancis dan lain-lain.

Di sini kita boleh lihat bagaimana plan Oded Yinon dilaksanalan. Apatah lagi Pasca 11 September 2001, turut menyumbang kepada konflik yang agak rumit. Plan Oded Yinon lebih kepada melaga-lagakan sesama Umat Islam atau lebih dikenali Perang Saudara. Peranan CIA dalam pendanaan juga perlu diberi perhatian menjadi bukti penglibatan ‘tangan ghaib’ dalam mencaturkan konflik di kawasan Tanduk Afrika.

Tanduk Afrika yang menjadi rebutan

Tanduk Afrika secara umumnya terletak di kawasan panas yang meliputi Somalia, Eritrea, Ethiopia, Djibouti, Kenya, Uganda, Sudan dan Sudan Selatan dan ia berkait rapat dengan Yaman. Kawasan ini adalah laluan bekalan minyak mentah dari Teluk Parsi ke Eropah melintasi Laut Merah dan seterusnya Terusan Suez. UAE dilihat negara terawal yang mula berusaha untuk menguasai laluan itu dengan mengadakan perjanjian untuk membina pangkalan tentera di Eritrea pada 2015.

Pada tahun yang sama Turki telah membina pangkalan tenteranya di Qatar. Manakala pada 2017 Turki membina pangkalan tentera di Somalia, dan UAE di Somaliland. Hari ini kita boleh lihat bagaimana kawasan tersebut sedang sesak dengan pangkalan-pangkalan tentera luar seperti Amerika Syarikat, Perancis, China, dan Arab Saudi yang mempunyai pangkalan di Djibouti. Dari satu sudut, wujudnya persaingan antara Turki-Qatar dan UAE-Saudi.

2018 mempersembahkan bagaimana krisis di Somalia masih berterusan. Beberapa siri serangan khususnya kumpulan al Shabaab yang melibatkan korban nyawa manusia tidak berdosa. Krisis antara Somaliland dan Puntland di kawasan sempadan Sool yang menjadi rebutan membawa kepada pertempuran bersenjata. Pada Januari 2018 krisis yang melibatkan sebanyak 12500 orang awam.

Menurut kajian, antara Januari hingga Ogos 2018 menyaksikan lebih 204,000 orang telah dihalau dari penempatan mereka. Dalam tahun sama wujudnya krisis antara Somalia dan Kenya, dan ia berterusan hingga ke saat ini. Pergolakan demi pergolakan memperlihatkan kepada kita bahawa negara-negara di Tanduk Afrika menjadi mangsa rebutan banyak pihak, kerana potensi minyak dan laluan yang strategik. Di samping agenda untuk Israel Raya yang sedikit sebanyak mencatur agenda untuk menguasai Tanduk Afrika.

Somalia mangsa Plan Oded Yinon

Israel Raya merupakan projek yang dikenali dengan Pax Judaica. Amerika bertindak sebagai kuasa besar yang mengepalai projek ini. Pada 1982 Oded Yinon telah menulis mengenai persempadanan mazhab di negara-negara Islam khususnya. Beliau memperkenalkan satu plan projek untuk terus menerus menyuburkan persengketaan sesama umat Islam. Plan projeknya dinamakan sebagai Yinon Plan.

Antara plannya, Oded Yinon menyeru ke arah mengerat Iraq, pembebasan Lubnan, Mesir, dan Syria, pemisahan Iran, Turki, Somalia, dan Pakistan. Pelan Yinon juga menyeru pembubaran Mesir, Sudan, Libya, dan seluruh wilayahnya. Ternyata Somalia merupakan salah satu tempat untuk cetuskan perselisihan mazhab. Tidak hairan era pertengahan 20 menyaksikan pertembungan Ahlu Sunna Waljama’a (ASWJ) menentang Al Shabaab atas nama wahhabi.

Tulisan Oded Yinon yang bertajuk ‘Israel Should Exploit Internal Tensions of Arab States’ dalam Bahasa Ibrani menolak gagasan bahwa Israel harus melaksanakan Perjanjian Camp David dan mencari perdamaian. Sebaliknya, Yinon menggesa supaya Negara-negara Arab mesti diranapkan dari dalam dengan memanfaatkan ketegangan mazhab dan isu sektetarian agama.

Dalam satu temubual pada Mac 2017, Bekas General Tentera US, Wesley Clark menceritakan bagaimana mereka merancang untuk ‘mengambil’ 7 negara dalam tempoh 5 tahun, bermula dengan Iraq, kemudian Syria, Lubnan, Libya, Somalia, Sudan dan akhir sekali Iran. Walaupun ada penglibatan PBB di Somalia dan namun namun masih bergolak hari ini dengan penglibatan Amerika.- HARAKAHDAILY 25/10/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Advertisement