Lompat parti hak demokratik wakil rakyat

BISING sekali bunyi para pemimpin Pakatan Harapan mengecam tindakan melompat parti yang dilakukan oleh beberapa bekas wakil rakyat mereka sehingga menjatuhkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang mereka kuasai.

Advertisement

Kepada para pemimpin Pakatan Harapan, terimalah hakikat bahawa tindakan melompat parti telah diputuskan secara sebulat suara oleh lima Hakim Mahkamah Agung pada 3 April 1992 sebagai selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Inilah dia keputusan Tun Abdul Hamid Omar, Tan Sri Harun Hashim, Tan Sri Mohamed Yusoff Mohamed, Tan Sri Gunn Chit Tuan dan Tan Sri Edgar Joseph Jr dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & Anor v Nordin bin Salleh & Anor tersebut:

“The right to leave one political party and to join another is an integral part of the fundamental right of association or at least partakes of the same basic nature and character as the freedom of association.”

(“Hak untuk meninggalkan sesebuah parti politik dan untuk menyertai sesebuah parti politik yang lain adalah satu bahagian yang mustahak dalam hak asasi berpersatuan atau sekurang-kurangnya menyerupai sifat asas yang sama dengan kebebasan berpersatuan.”)

Malah, keputusan inilah juga yang sebelum ini sering dipetik di Parlimen oleh Menteri dan Timbalan Menteri Undang-Undang Kerajaan Pakatan Harapan, Datuk Liew Vui Keong dan Mohamed Hanipa Maidin, bagi menepis cubaan memperkenalkan Akta Anti Lompat Parti.

Soalnya sekarang ialah mengapa para pemimpin Pakatan Harapan perlu bersikap ‘double standard’ dalam perkara ini dengan hanya membuat bising bila tindakan melompat parti merugikan mereka tetapi langsung tidak berkata apa-apa bila ia menguntungkan mereka?

Soalnya sekarang juga ialah, jika benar tindakan melompat parti tidak boleh diterima kerana ia kononnya mengkhianati mandat rakyat dalam PRU, mengapa para pemimpin Pakatan Harapan tidak memperkenalkan Akta Anti Lompat Parti waktu mereka berkuasa dahulu?

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOF – HARAKAHDAILY 7/3/2020