Inisiatif bantu penduduk Tanjung Lumpur dihargai

PERTAMA-tama saya mengucapkan selamat datang kepada Ustaz Ebit Liew ke negeri Pahang termasuklah ke Kampung Tanjung Lumpur dan DUN Tanjung Lumpur yang menjadi kawasan tugasan saya sebagai wakil rakyat di sini. Semoga air mata Ustaz yang tumpah disini menjadi saksi kebaikan di Akhirat.

Advertisement

Jutaan terima kasih yang tidak terhingga atas kesanggupan dan susah payah Ustaz datang dari jauh untuk menghulurkan sumbangan dan membantu rakyat negeri Pahang yang ditimpa kesusahan, semoga jasa baik, penat lelah dan pengorbanan Ustaz mendapat ganjaran selayaknya dari Allah S.W.T.

Sebagaimana biasa bila isu begini timbul, maka jabatan yang paling sibuk dan paling awal menguruskannya adalah Jabatan Netizen, saya mengucapkan terima kasih pada semua komen, saya kumpulkan semuanya dan saya jadikan sebagai sempadan petunjuk untuk ke arah yang lebih baik terhadap perkhidmatan saya.

Ada yang terlalu keras menghentam, namun saya melihat ianya datang dari orang dari luar kawasan tersebut, ada yang tidak pernah jejak kakinya di Tanjung Lumpur, jika benar katanya saya minta ampun dan bertaubat kepada Allah S.WT, jika tidak saya maafkan dia, apatah lagi dibulan yang penuh barakah ini, Insya-Allah.

Saya juga menafikan bahawa saya ada membuat sebarang kenyataan sebelum ini, saya tegaskan saya tidak pernah walaupun sebutir huruf sekalipun menulis sama ada terhadap isu ini ataupun terhadap Ustaz Ebit. Namun saya melihat ada tersebar termasuk yang diviralkan oleh Pahang Daily (sudah dipadamkan kerana tersilap faham) bukannya kenyataan saya, ianya saya lihat adalah sedutan dari kenyataan saya dalam isu yang lain.

Ada juga beberapa artikel yang ditulis lalu dipetik (tag) nama saya, semua ini merupakan pandangan peribadi masing-masing. Ada yang saya kenali dan ada yang tidak, ada yang dibaca ada yang tidak. Namun itu bukan pandangan peribadi saya walaupun ianya hampir sama pandangannya, saya serahkan pada Allah apa jua niatnya, saya tidak mampu menguruskannya kerana media sosial terlalu liar untuk dikawal.

Berkaitan warga miskin Tanjung Lumpur yang mendapat bantuan dari Ustaz Ebit Liew, saya sangat mengucapkan terima kasih kepada Al-Fadhil Ustaz yang sudi menghulurkan sumbangan kepada beliau. Termasuklah menanggung kos bayaran rumah sewa beliau pastinya ini sangat meringankan bebanan beliau dan kepada Puan Noraisyah binti Md Nor dan anak-anak, penerima tersebut, bersyukurlah dengan kurniaan Allah itu, manfaatkan ianya itu untuk kebaikan di dunia dan akhirat.

Pihak kami mungkin tidak mampu untuk berikan sebagaimana yang Ustaz Ebit berikan kerana komitmen pihak kami yang begitu banyak dan berterusan, namun insya-Allah kami berusaha sekadar mampu dan sebelum inipun ramai yang membantu, sama ada organisasi parti, pihak kerajaan, Ahli Parlimen, NGO-NGO dan orang perseorangan termasuk yang terbaru Al-Fadhil Ustaz Ebit Liew turut membantu, sekali lagi terima kasih.

Untuk maklumat semua, Kampung Tanjung Lumpur pada asalnya adalah perkampungan nelayan. Namun penduduk asal yang tinggal di kawasan tanah rizab telah pun diarahkan berpindah dan pihak kerajaan telah sediakan inisiatif Flat Pak Mahad sebagai alternatif dengan bayaran sewa RM125 sebulan. Pihak kami juga terlibat membantu masyarakat di sana untuk berpindah, sama ada dari sudut tenaga dan kewangan.

Boleh dikatakan sebahagian besarnya telahpun berpindah dan ada sebahagian mereka dibantu pula oleh pihak MUIP (Majlis Agama Islam Pahang) untuk membayar sewa rumah mereka pada setiap bulan (bergantung pada kategori kesusahan). Masalah yang kami hadapi ialah adanya di kalangan mereka yang tinggal secara sembunyi di kawasan yang telah tidak diizinkan untuk tinggal. Kebanyakannya masyarakat dari luar seperti warga Thailand yang bekerja sebagai nelayan dan lain-lain termasuklah dari warganegara sendiri.

Keadaan ini kadangkala diluar kawalan kami. Ketika kami bantu mereka keluar dari rumah yang sedemikian, datang pula orang baru secara senyap-senyap menghuni yang kadangkala pihak kami terlepas pandang dan tidak menyangka ada penghuni. Apatah lagi jika mereka sembunyikan kemasukan mereka dan sembunyikan status mereka sebenarnya, kerana bimbang dihalau dan sebagainya dan mereka pula tidak membuat sebarang aduan kesusahan dan permohonan tempat tinggal pada pihak kami.

Rumah yang didiami Puan Noraisyah itu adalah rumah yang diberikan keizinan untuk beliau tinggal oleh pemiliknya. Dimaklumkan asalnya ketika dia mendiami berada dalam keadaan yang agak baik, kenapa jadi usang begitu? Datanglah ke Tanjung Lumpur dan bertanyalah sendiri kepada tuan rumah tersebut. Saya tidak boleh menjawab bagi pihak tuan rumah, jika inginkan penjelasan, saya boleh bagi nombor telefon pemilik tersebut.

Saya rasa memadai setakat ini untuk bicarakan isu rumah tersebut, harap tidak diungkitkan lagi, kerana dibimbangi akan terbuka pula sesuatu aib yang telah Allah sembunyikan bagi menutup keburukan manusia, termasuk diri saya sendiri.

Hal yang sama juga berlaku di kawasan setinggan yang lain, ada kawasan setinggan yang hanya tidak lebih 10 peratus penduduk asal. Kerajaan telah berikan inisiatif, selebihnya insan yang silih berganti datangnya dari pelusuk dunia termasuk golongan PATI. Tetapi ianya terletak di atas tanah bukan rizab atau milik kerajaan. Saya pernah membawakan isu ini di dalam dewan (DUN), tetapi pihak kerajaan tidak dapat berbuat apa-apa kerana kerajaan bukan pemilik tanah. Yang lebih besar dari itu ialah bila pihak kerajaan mengutamakan dasar kemanusiaan, tak sampai hati dan terpaksa menahan tubuh dengan caci maki manusia.

Inilah DUN Tanjung Lumpur yang sedang menjadi isu kemiskinan, Kampung Tanjung Lumpur hanya sebuah kampung kecil. Malahan paling kecil jika dibandingkan dengan kampung lain di dalam DUN Tanjung Lumpur. Saya memilih untuk mendirikan pejabat di sini bagi tujuan keutamaan membantu masyarakat di sini dan boleh dikatakan setiap hari masyarakat di kampung inilah yang datang untuk menerima bantuan dari pihak kami walaupun sedikit dan saya bersyukur kerana Allah sentiasa murahkan rezeki untuk dapat membantu mereka.

Namun, dengan kemampuan yang terbatas disebabkan DUN Tanjung Lumpur yang berada dipinggiran bandar dan mempunyai jumlah penduduk yang padat, kami bantu apa yang termampu. Pihak kerajaan juga telah sediakan beberapa inisiatif untuk memajukan mereka, namun tidak semuanya berjaya dengan sebab sikap manusia. Sebab itu saya sangat bersyukur dengan kehadiran Ustaz Ebit Liew yang sudi datang dan menghulurkan sumbangan kepada masyarakat kami di sini. Insya-Allah saya akan menziarahi Puan Noraisyah nanti dan akan turut menawarkan diri membantu apa yang termampu.

Pada Ustaz Ebit jangan serik untuk datang, saya sangat berterima kasih, tapi malangnya saya tidak dapat bertemu beliau. Kalau diberikan keizinan ingin saya memeluk beliau sebagai ucapan terima kasih saya. Sebagai manusia inilah sebenarnya yang dikehendaki Islam supaya kita menjadi batu-bata binaan yang saling melengkapi. Saya mohon pada netizen untuk hentikan sebarang komen yang memburukkan keadaan, apatah lagi dibulan yang penuh barakah ini. Terima kasih Ustaz Ebit, semoga perjalanan Ustaz sentiasa dilindungi Allah S.W.T. Selamat meneruskan ibadah puasa.

ROSLI ABDUL JABAR
ADUN Tanjung Lumpur – HARAKAHDAILY 8/5/2020