Malaysia berusaha kurang import makanan

Foto: Facebook Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia

KOTA BHARU: Malaysia berusaha mengecilkan import sumber makanan dari negara luar, sebaliknya muncul pula sebagai sebuah negara pengeksport produk pertanian.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kerajaan sedang berusaha ke arah sebuah negara pengeluar makanan.

Advertisement

“Dasar kerajaan jelas sedang menuju ke arah itu. Oleh itu tumpuan sekarang menyediakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan rakyat terbabit dalam sektor pertanian.

“Banyak insentif yang ditawarkan kerajaan untuk mendapat status negara pengeksport makanan pada masa akan datang,” katanya ketika diundang sebagai tetamu Rancangan Selamat Pagi Malaysia disiarkan secara langsung melalui RTM1, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia, Azulita Salim.

Esok kerajaan akan menganjurkan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan edisi 45 di Menara Pertubuhan Peladang Kuala Lumpur.

Ia bakal dihadiri 500 tetamu sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi menghalang wabak Covid-19.

Sambutan itu sebagai medan bagi menghargai jasa golongan petani, peladang dan nelayan berusaha keras membekalkan sumber makanan kepada negara. – HARAKAHDAILY 5/8/2020