K’jaan akan bentang RUU wujudkan Akta Wakaf

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkasakan institusi wakaf menerusi akta yang akan diwujudkan dari RUU Wakaf Wilayah Persekutuan di mana dijangka dibentangkan di Parlimen pada Disember depan.

Advertisement

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Ahmad Marzuk Shaary, RUU ini hanya akan mempunyai kuasa di peringkat Wilayah Persekutuan sahaja dan tidak memberi kesan kepada Negeri.

“Kecuali sekiranya Negeri meminda atau menggubal Enakmen yang sama dengan Rang Undang-Undang Wakaf tersebut. Ini berdasarkan Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan,” ujarnya pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) mengenai perancangan dan strategi baru telah dan akan dilaksanakan untuk mempastikan harta wakaf dan baitulmal milik umat Islam tidak terbiar dan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Terdahulu Ahmad Marzuk (PAS-Pengkalan Chepa) memaklumkan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada tahun 2011 telah membangunkan sebuah projek di atas tanah wakaf di Lot 165 dan 169 Jalan Perak Kuala Lumpur seluas 1.21 ekar.

Projek ini menurutnya, telah menjadi projek wakaf pertama dibangunkan bagi tujuan komersial di negara ini di atas tanah wakaf milik Allahyarham Ahmad Dawjee Dadabhoy melibatkan binaan bangunan setinggi 34 tingkat.

Jelas beliau, ia telah dibangunkan hasil kerjasama strategik antara Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Bank Islam Malaysia Berhad di mana dalam perkongsian pintar ini, LTH sebagai pemaju menawarkan pembiayaan 100 peratus.

“TH Properties pula memainkan peranan sebagai pengurus projek. Berdasarkan struktur pembiayaan ‘Build-Operate-Transfer’, MAIWP akan mendapat pulangan sebanyak RM56.6 juta sepanjang tanah tersebut dipajakkan kepada LTH iaitu selama 25 tahun. Selepas tamat tempoh pajakan, maka menara tersebut termasuk hasil sewaan akan menjadi milik MAIWP.

“Selain harta wakaf, MAIWP turut membangunkan beberapa hartanah milik MAIWP bagi tujuan pendidikan, kesihatan dan kebajikan seperti pembinaan Hospital PUSRAWI, Sekolah Menengah Agama MAIWP, Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur, Institut Kemahiran Baitulmal, Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah di Kuala Lumpur dan Labuan dan beberapa buah projek lagi.

“Selain itu, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) telah dan sedang giat memperkasakan medium kutipan wakaf tunai bagi memudahkan orang ramai berwakaf. Kutipan wakaf tunai ini kelak akan digunakan bagi tujuan pembangunan hartanah wakaf sedia ada atau mewujudkan wakaf baru,” ujarnya.

Katanya, YWM juga dalam tindakan mewujudkan Tabung Wakaf Malaysia di mana tabung ini kelak akan menjadi payung wakaf-wakaf lain untuk capaian yang lebih menyeluruh merangkumi sektor Kerajaan, korporat dan masyarakat umum. – HARAKAHDAILY 4/8/2020