Ulama bertanggungjawab jelas RUU 355 kepada rakyat

INTIPATI ucapan Datuk Ustaz Haji Husin Awang, Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu Muktamar Dewan Ulama PAS Terengganu kali ke 52 di Madrasah Darul Iman, Titian Baru, Bukit Payung, Terengganu.

Advertisement

1. Saya terharu melihat keadaan Ustaz Abu Bakar Abdullah (Timbalan Ketua) yang walaupun sakit dan uzur tetapi masih sedia datang, membenarkan ayat al-Quran yang dibaca sebentar tadi iaitu  berangkat dan berjuang walaupun dalam keadaan berat.

2. Saya ucap tahniah kepada Madrasah Darul Iman yang menjadi tuan rumah Muktamar kali ini, tempat yang barangkali mungkin paling cantik di kalangan sembilan buah sekolah Dar di bawah urusan Dewan Ulama PAS Terengganu, juga pengurusan sekolah yang baik.

3. Dewan Ulama PAS Terengganu juga ucap tahniah kepada PAS Pusat, terutama Presiden PAS yang berjaya membawa usul RUU 355 dalam Sidang Dewan Rakyat pada hari Khamis baru-baru ini.

4. Ia menjadi tanggungjawab pimpinan PAS, ulama terutamanya untuk memberi pencerahan dan pengukuhan kepada masyarakat supaya memahami pembentangan usul ini. Sekian lama umat Islam tidak dapat mengamalkan agama mereka dengan sepenuhnya, sedangkan penganut agama lain boleh beramal dengan agama mereka. Perlembagaan Malaysia di bawah Fasal 3 meletakkan Islam agama persekutuan yang sepatutnya diperkasakan pengisiannya.

5. Usul ini akan melalui proses yang panjang kerana ia baharu dibentang, belum dibahas, akan diundi, dibentuk Jawatankuasa dan lain-lain proses yang mungkin akan mengambil masa yang panjang.

6. Isu speaker yang menamatkan sidang lebih awal akan digunakan sebagai alat kononnya PAS berpakat dengan Umno, yang memerlukan jawapan dari pimpinan ulama memberi pencerahan yang betul kepada masyarakat.

7. Kalau ada perbahasan nanti, tentu ada ahli Parlimen bukan Islam yang akan berbahas atau apabila wakil rakyat Islam yang berbahas untuk menolak RUU 355. Tidakkah tuan-tuan rasa terhina dengan perkara ini. Tempoh yang ada memberi masa yang panjang kepada para ulama untuk terangkan kepada masyarakat mengenai RUU 355 ini.

8. Sembilan buah sekolah Dar mengikut polisi yang ditetapkan oleh Dewan Ulama PAS Terengganu. Ada sekolah yang fizikalnya atau kewangannya lemah dan terhad. Bagaimana kita boleh perkasakan sekolah ini. Dewan Ulama PAS Terengganu perlu fikir untuk membantu sebaik mungkin sekolah-sekolah ini.

9. Pilihan Raya Umum ke-14 lebih terbuka peluangnya kepada PAS. Tahun 1999 dahulu kita mahu majoriti mudah untuk perintah Terengganu, tsunami politik ketika itu menjadikan kita dapat lebih 2/3. Ada penganalisa politik mengatakan situasi politik semasa lebih berpihak kepada pembangkang, khususnya PAS untuk menguasai balik Terengganu.

10. Dahulunya ceramah politik rancak. Kini media sosial lebih menguasai. Ulama menjadi penggerak utama membangkitkan kesedaran politik melalui media baharu ini.

11. Justeru, urusan ulama peringkat kawasan ada tanggungjawab besar untuk mengisi kuliah, program, bukan sahaja kuliah biasa tetapi kesedaran politik Islam, pilihan raya dan pemerintahan Islam. – HARAKAHDAILY 8/4/2017

Catatan Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek, Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulama PAS Terengganu dalam Muktamar Dewan Ulama PAS Terengganu kali ke 52 di Madrasah Darul Iman, Titian Baru, Bukit Payung, Terengganu, Sabtu 8 April 2017