Kelantan kekal harga rumah mampu milik

BIARPUN negara dilanda kegawatan ekonomi dan berlaku kenaikan harga bahan binaan, namun Kelantan tetap mengekalkan harga rumah mampu milik.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata kerajaan negeri masih mengekalkan harga rumah terbabit.

“Kita masih lagi mengekalkan harga yang ditetapkan tiga kategori harga iaitu RM45,000, RM85,000 dan RM130,000.  

“Sebagai contoh di Pasir Genda, Tanah Merah, kos pembinaan rumah mampu milik ialah RM6.7 juta manakala hasil jualannya lebih kurang RM4 juta.

“Jadi kerajaan terpaksa menanggung perbezaan harga lebih RM2 juta, tetapi kita masih cuba mengekalkan harga asal ditetap,” katanya di sini.

Sehingga sekarang terdapat 18 projek rumah mampu milik yang dilaksanakan kerajaan negeri termasuk Taman Seri Mesa, Rantau Panjang; Taman Ubudiyyah, Labok; Taman Wadi Iman, Kok Lanas; Bandar Utama, Gua Musang; Taman Seri Guchil, Kuala Krai.

Selain itu Pasir Genda, Tanah Merah; Tanah Iman Jaya, Wakaf Che Yeh; Badang, Kota Bharu; Bunut Susu, Tendong; Pulai, Gua Musang; Meranti, Pasir Mas; Berangan Mek Nab, Machang; Kadok, Ketereh; Perumahan Bandar Ciku 3 dan Gua Musang, Jubakar Pantai, Tumpat.

Abdul Fattah juga berkata kerja-kerja menanam cerucuk projek rumah mampu milik di Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan kini siap 100 peratus.

Manakala kerja pembinaan surau mencecah 25 peratus dan pembinaan bangunan dijangka siap awal 2019.

“Sehingga sekarang kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM5.3 juta daripada jumlah kos keseluruhan sebanyak RM49 juta,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2017