PAS bawa BPMS di peringkat antarabangsa

NAMPAKNYA budaya politik matang dan sejahtera (BPMS) yang diperkenalkan PAS dihayati semakin baik oleh ahli dan rakyat awam. Rata-rata semakin terdidik dengan budaya idea dan solusi, semakin sedar bahana persepsi dan kebencian. Namun begitu, masih sukar untuk kita menerapkan BPMS dalam memilih pendirian dalam isu-isu di luar negara.

Advertisement

BPMS adalah sebuah konsep politik bersifat wasatiyyah. Ia tidak cenderung ke kiri mahupun ke kanan. Ia tidak bersifat ekstrem tetapi tidak terlalu lembut. Menentang sebarang bentuk politik ganas yang membawa huru-hara, dalam masa yang sama tidak sekali-kali membela kezaliman dan orang zalim.

BPMS adalah bentuk politik yang membawa pendirian tersendiri. Tidak bersifat berpihak kepada mana-mana pihak. Tidak terlibat dalam komplot politik yang merebut kepentingan tertentu.

BPMS mementingkan fakta dan ketepatan. Menjauhi sebarang khabar angin dan propaganda media. Mengamalkan sikap tabayyun yang diajar agama Islam. Tidak terpengaruh dengan sebarang sentimen dan sektarian.

Contohnya dalam isu melibatkan krisis di Syria. PAS membaca isu ini dari skop yang luas melibatkan percaturan kuasa besar, peranan media dan kepentingan ummah. Jauh daripada sentimen sunni-syiah, menekankan empati melebihi simpati, mencari solusi jangka panjang bukan bersifat melepaskan batok di tangga sahaja.

Malangnya ada yang gagal memahami konsep ini. Mereka mudah terpengaruh dengan media yang mengulang tayang skrip lama kuasa besar demi menghalalkan tindakan politik mereka. Mereka lebih percaya laporan fasik daripada maklumat dalaman yang lebih realiti.

Apabila PAS menegaskan pendirian berbeza daripada pendapat popular, PAS dituduh cenderung ke arah kezaliman pemimpin Syria pula. Samalah halnya dengan pendirian PAS dalam menghadapi krisis negara. Apabila PAS memilih untuk berhadapan secara matang dengan kerajaan, dituduh cenderung kepada kezaliman BN pula.

Lebih parah, sentimen yang berjaya dimanipulasi media menyebabkan mereka nampak semua cara membanteras krisis adalah halal, termasuklah bersekongkol dengan pengganas antarabangsa no.1, Amerika Syarikat. Kebencian terhadap rejim menyebabkan Amerika dianggap suci. Malah ada yang menggunakan nas agama dengan menganggap mereka adalah bangsa Rom yang diceritakan oleh hadis, dan merekalah kristian yang dibenarkan untuk bekerjasama. Samalah halnya di negara kita, apabila kebencian terhadap Umno BN sehingga menganggap pihak yang menentang Islam itu suci lagi murni hanya kerana mereka memusuhi BN juga.

Ada juga yang terlajak mempraktikkan BPMS. Menganggap pendirian PAS sama sebagaimana sebahagian ulama-ulama di Syria dan Mesir yang mentaqdis pemimpin negara mereka. Malah di Malaysia juga, ada yang terlajak mendekati BN sampai semua salah-laku mereka dibutakan. Hanya atas alasan mengelak mafsadah lebih besar.

Produk BPMS adalah praktis kepada ajaran al-Quran dan sunnah. Antara lain Nabi SAW bersabda:

“أفضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر”

Sebaik-baik jihad adalah berkata benar di sisi pemimpin yang zalim.
Tiga poin utama yang terdapat daripada hadis ini bagi menggambarkan sikap BPMS:
1. Berkata benar di sisi pemimpin adalah sebaik-baik jihad. Lebih baik daripada jihad mengangkat senjata. Lebih baik daripada jihad peperangan. Lebih baik daripada segala bentuk jihad. Perkara yang harus difahami oleh mereka yang berminda radikal atau revolusioner.
2. Berkata benar walaupun pemimpin itu zalim. Tidak takut kepada pemimpin itu. Tidak menyokong atau bermuka-muka kepada pemimpin itu. Perkara yang harus diinsafi oleh mereka yang terlajak BPMS.
3. Tuntutan berada di sisi pemimpin zalim. Bagaimana mahu berada di sisi sekiranya mengambil sikap berpatah arang dengan pemimpin? Ia mesti bermula dengan dengan mendekati pemimpin. Perkara yang harus difahami oleh penggiat politik.

BPMS tidak wajar dipisahkan daripada ajaran agama. Semua perlu kembali kepada al-Quran dan sunnah. Di atas hanya satu contoh daripada ribuan nas yang perlu diterokai. Barulah BPMS tidak tersasar jauh. – HARAKAHDAILY 11/4/2017