Impak teknologi komunikasi terhadap remaja

Saya ingin berkongsi kepada pembaca tentang kecanggihan teknologi zaman sekarang seperti telefon pintar, laptop dan sebagainya. Di sini saya ingin fokuskan kepada teknologi komunikasi. Memang tidak dapat di nafikan lagi, teknologi saat ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup manusia. Berbagai inovasi diciptakan dengan tujuan untuk memudahkan hidup manusia mahupun memberi manfaat kepada mereka. Kehadirannya telah memberi pengaruh yang cukup besar terhadap kehidupan umat manusia dalam pelbagai aspek. Kecanggihan teknologi juga mempunyai kebaikan serta keburukan dalam penggunaanya. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa memerhatikan anak-anak ketika mereka sedang asyik melayankan “smartphone” mereka.

Advertisement

Antara kebaikannya ialah bagi para pelajar kecanggihan teknologi ini mampu membantu   mereka untuk mencari maklumat-maklumat penting tentang pelajaran. Kecanggihan teknologi yang disebutkan di sini ialah internet. Internet memberikan kepada kita kekuatan daya imaginasi, inovasi dan teknologi komunikasi yang membolehkan penyebaran maklumat dalam kualiti yang hampir sempurna dalam waktu yang sangat cepat serta mudah. Teknologi tidak menunggu kita malah kita yang harus mengejar kecanggihan teknologi zaman sekarang.

Selain itu, ia juga mampu menjimatkan masa kita dalam kehidupan harian sebagai contoh, membeli belah secara atas talian (online). Dalam era ini, kita tidak perlu bersusah payah beratur atau berebut untuk membeli barang keperluan harian secara terus. Ini kerana, dengan adanya smartphone ataupun gadget anda boleh membeli belah secara online, hanya dengan sentuhan pada skrin gadjet anda barang yang anda idamkan terus ada di depan pintu anda.

Di samping itu, kemudahan komunikasi juga dapat membantu kita untuk berkomunikasi dengan saudara-mara yang jauh dengan hanya menggunakan telefon, laman media sosial seperti facebook, whatsapp, skype dan lain-lain. Seperti kita ketahui, masyarakat pada zaman dahulu hanya menggunakan sehelai kertas untuk berkomunikasi dengan sahabat atau saudara-mara yang jauh berbeza dengan masyarakat zaman sekarang. Kemudahan komukasi ini banyak membantu kita untuk berhubung dengan masyarakat di seluruh pelosok dunia.

Di samping itu, teknologi komunikasi juga mempunyai keburukan terhadap masyarakat zaman sekarang. Antaranya ialah menyebarkan khabar angin. Yang dimaksudkan dengan khabar angin di sini ialah sesuatu berita yang belum dipastikan lagi kebenarannya tersebar secara meluas tanpa sebarang sekatan. Perkara yang paling membimbangkan ialah kita tidak mampu menyaman atau mendakwa siapa yang menyebarkan khabar angin kerana laman web misalnya tidak memaparkan identiti sebenar penyabar tersebut. Melalui situasi ini, penyebaran khabar angin ini akan terus dilakukan oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab tanpa ada rasa takut. Justeru, tidak hairanlah banyak khabar angin disebarkan dalam laman web atau laman sosial pada hari ini. Erti kata lain ialah viral sudah menjadi trend kepada masyarakat zaman sekarang.

Teknologi komunikasi atau secara amnya gadjet boleh menyebabkan gangguan tidur kita. Kajian mengatakan untuk manusia normal, kita perlu tidur sekurang-kurangnya 8 jam sehari. Penulis juga mengalami masalah yang sama dimana kita selalu tidur lewat disebabkan leka bermain gadjet sehingga lewat malam. Kesannya cahaya yang bersinar dari skrin gajet boleh mengganggu urat saraf kita serta menjejaskan kesihatan kita sebagai contoh rabun pada usia yang muda.

Tambahan pula, ia juga mampu menjejaskan pelajaran para pelajar di mana pelajaran mereka boleh terjejas sekiranya masa untuk mengulangkaji pelajaran telah digantikan dengan masa melayan gadjet sekali gus telah melalaikan mereka. Pelbagai aplikasi yang menarik dalam gadjet lebih menarik minat mereka daripada menghadap buku pelajaran. Sekiranya pelajar membawa gadjet ke dalam kelas, perkara lebih buruk akan berlaku di mana tumpuan kepada apa yang diajar oleh guru akan terjejas. Oleh kerana itu pihak sekolah melarang pelajar untuk membawa sebarang alat komunikasi mereka ke sekolah.

Sebagai kesimpulannya, kita dapat lihat bahawa teknologi zaman sekarang bergerak semakin pantas. Oleh itu kita perlulah menjadi pengguna yang bijak serta tahu membezakan yang baik dan yang buruk. – HARAKAHDAILY 24/4/2017

Penulis ialah Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia.