Isu Najib tidak mengubah landskap politik

BEKAS perdana menteri dihukum penjara 72 tahun dan denda RM210 juta. Berita tersebut benar-benar mengejutkan. Mengocak dunia ketika pandemik Covid-19 masih menular.

Advertisement

Dato’ Seri Najib Razak didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan. Ia membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun ahli parlimen Pekan itu masih bernasib baik. Tidak dikenakan hukuman sebat kerana faktor usia. Hukuman itu diumum di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Pada 4 Julai 2018 Najib dihadap tiga pertuduhan. Pada peringkat awal dituduh tiga kesalahan pecah amanah dan satu kesalahan salah guna kuasa.

Dan pada 8 Ogos pula ditambah tuduhan mengubah wang haram. Semalam hakim dilapor menyebut Najib mendapat kepuasan melalui keuntungan dana RM42 juta milik SRC International Sdn.

Najib seumpama sudah jatuh ditimpa tangga. Sebelum itu pada 22 Julai lepas bekas perdana menteri terbabit perlu membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion kepada kerajaan.

Ia juga diputuskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Ternyata isu itu meletak Najib di kedudukan dunia. Menarik perhatian sehingga ke hujung benua.

Malah ada yang cuba mengait pula dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN). PN tergugat kata mereka. Tidak kurang juga yang mengesa diadakan pilihan raya parlimen bagi menyelamatkan keadaan.

Namun apa yang berlaku semalam seolah-olah sudah dijangka. Najib tidak diberi sebarang kedudukan dalam kerajaan. Begitu juga Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Mereka mempunyai koleksi kes di mahkamah.

Setidak-tidaknya kes menimpa Najib dan Dr Ahmad Zahid tidak mengheretkan kerajaan PN. Teori awal yang diteroka Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelma sekarang.

Biarpun pada peringkat awal berdepan dengan pro dan kontra, namun sekarang langkah Muhyiddin boleh meredakan keadaan.

Isu yang berlengar sekarang sekitar tubuh badan Najib. Tidak mengheret pihak lain. Begitu juga Umno. Bekas perdana menteri itu sekadar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).

Bukan penamat

Namun apa yang berlaku sekarang bukan penamat. Masih panjang lagi episod sebelum boleh mengheretkan Najib ke jeriji besi.

Najib masih lagi boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan. Rayuan boleh dibuat dalam tempoh 14 hari. Dan seandaianya Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, masih ada peluang di Mahkamah Persekutuan pula.

Tempoh menjejaki mahkamah tertinggi negara mengambil masa bukan sehari dua. Malah pilihan ketiga juga masih terbuka.

Ada sarjana berhujah boleh mengemukakan petisyen pengampunan. Perkara itu itu termaktub di bawah Perkara 42 Kuasa Pengampunan Perlembagaan Persekutuan.

Berdasar peluang yang ada itu keputusan awal di mahkamah semalam mungkin dilihat dalam konteks berbeza di peringkat penghakiman lebih tinggi.

Biar apa pun isu Najib ternyata menenggelamkan banyak isu lain seketika. Ia meminggirkan berita PAN memecat Adun Sabak Ahmad Mustain Othman.

Ahmad Mustain dilapor melanggar disiplin. Pemecatannya selaras dengan Fasal 21.8 Perlembagaan Parti Amanah Negara.

Sedangkan sebelum itu ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim juga meninggalkan PAN.

Pada Jun lepas dia menyertai Bersatu. Baginya keputusan bersama Bersatu kerana mahu bersama PN.

Pada 9 Mac lepas Hasnul bersama dua ADUN DAP mengumumkan keluar parti.

ADUN Tronoh Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong A. Sivasubramaniam meninggalkan DAP.

Tindakan mereka menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak tumbang. Terbaharu langkah angkat kaki juga berlaku di Sarawak.

ADUN Padungan Wong King Wei juga mengumumkannya keluar DAP malam Ahad lepas.

“Saya kekal sebagai ADUN Padungan sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan,” katanya yang juga Naib Presiden DAP Sarawak.

Wong menyertai DAP pada 2006. Kata beliau juga sepanjang 22 bulan pemerintahan PH, janji DAP kepada rakyat hanya sia-sia.

Sebenarnya babak-babak yang menimpa PH lebih menarik. Ia mampu mengubah landskap politik. Berbeza dengan kes Najib, ia sekadar isu peribadi yang tidak mengubah kondisi politik. Namun jangan terkejut, kalau-kalau Najib lebih popular lagi selepas ini.

M FAQIH- HARAKAHDAILY 29/7/2020