Kluster Sivagangga: Ganti rugi untuk mangsa jangkitan

SEDIH mengikuti berita kes COVID-19 Kluster PUI Sivagangga. Bahana seorang yang melanggar arahan kuarantin, ramai yang menjadi mangsa. Kanak-kanak, warga emas turut berjangkit.

Bukanlah mahu menghukum punca utama kes import yang pulang dari India itu. Saya percaya sudah ramai yang menghentam beliau. Cuma terpanggil untuk mencoretkan beberapa perkara atas dasar keadilan.

Pertama, perbuatan tidak mematuhi kuarantin itu dikira berdosa kerana dua perkara. Pertama kerana melanggar arahan Nabi S.A.W untuk kuarantin berdasarkan Hadis Sahih. Kedua, melanggar arahan ulil amri yang diperintahkan taat berdasarkan wahyu.

Advertisement

Kedua, beliau perlu bertanggungjawab terhadap semua yang berjangkit. Sekiranya dosa yang dilakukan berkait sesama manusia, tidak cukup dengan sekadar bertaubat. Beliau perlu memohon maaf terhadap semua yang terkesan dengannya.

Ketiga, semua yang berjangkit berhak untuk menuntut ganti rugi dengan beliau. Wajib kepadanya membayar pampasan setimpal selagi mampu. Namun kadarnya boleh diperhalusi apakah jangkitan itu berlaku kerana orang dijangkiti mengikut SOP penjarakan sosial (fizikal) ataupun tidak.

Keempat, kadar denda yang dikenakan kerajaan terhadapnya haruslah mengambil kira semua kerugian yang ditanggung kerajaan dan juga orang awam yang terlibat. Kerajaan kemudiannya perlu menggunakan denda terbabit untuk memulihkan keadaan sama ada dengan menanggung kos operasi pemulihan dan juga memberikan pampasan kepada yang berjangkit.

Hukuman yang dicadangkan terhadap beliau ini dirasakan lebih adil kerana ianya membabitkan kecuaian beliau sendiri yang tidak mematuhi arahan. Bahkan agak tidak adil untuk kerajaan membelanjakan wang kerajaan yang berpunca daripada wang rakyat untuk menanggung kos daripada kesalahan beliau seorang.

Walau bagaimanapun, saya kurang pasti adakah perkara ini bertentangan dengan semangat Undang-undang Negara ataupun tidak. Namun setakat ilmu saya, inilah semangat Perundangan Islam. Jika beliau tidak dipertanggungjawabkan di dunia, belum tentu ia tidak akan dipersoalkan di hari akhirat.

Semoga kita semua mengambil iktibar daripada kes ini. Bukan untuk menghentam mana-mana pihak.

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 4/8/2020