Baiti yang tidak menjadi Jannati

SLOGAN ‘Baiti Jannati’ bermakna ‘Rumahku Syurgaku’. Ia adalah slogan keramat, slogan yang membawa rahmat, serta berkat bagi sebuah rumahtangga.

Rumah dan syurga tentulah tidak sama. Syurga adalah tempat terindah, penuh nikmat, tiada hasad dengki, tiada cemburu, tiada talaq, tiada bunuh isteri dan lain-lain. Rumah di dunia pula terdedah kepada semua perkara sebaliknya. Kursus pra-perkahwinan dilaksanakan bagi memahamkan bakal pengantin mengenai sebuah keluarga yang bakal dibina.

Rumah ada, mungkin tiada tangga. Ada tangga, tapi mungkin tiada rumah. Dan mungkin tiada kedua-duanya. Namun antara suami-isteri, perlu ada tolak-ansur, sensitif, prihatin, memahami antara satu sama lain.

Advertisement

Benar, lidah sendiri pun kadang-kadang tergigit. Tapi lidah tidak pernah menyumpah giginya sendiri. Gigi pun tidaklah pernah meminta maaf dari lidah. Itu cerita gigi dan lidah.

Suami kadang tersilap. Isteri maafkan. Isteri tersilap, suami maafkan. Itu asam garam kehidupan. Sambil-sambil bergaduh, bertambah seorang anak tahun depan. Itu bergaduh. Agaknya kalau tak bergaduh, mungkin beranak 2 bulan sekali.

Sehari dua ini membaca isu rumahtangga orang lain yang tersiar di media. Isu rumahtangga sepatutnya diselesaikan dalam kelambu dahulu. Namun, seringkali ia tidak begitu. Marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Cerai dan kahwin lain ada hukum-hakamnya dalam syarak. Ia berlaku kepada Nabi Muhammad S.A.W, bahkan kepada para Nabi sebelumnya. Ia perlu diurus dengan cara paling baik, bijaksana, berasaskan takwa.

Oleh kerana kepentingan hidup rukun-damai antara suami isteri dalam sebuah rumahtangga, Nabi berkhutbah mengenainya dalam Khutbah Haji Widak yang disampaikan di Arafah pada 9 Zulhijjah tahun ke-10, sebelum kewafatan Baginda, di samping prinsip-prinsip lain yang Baginda sampaikan kepada para Sahabat.

Rumahtangga mesti dibina atas asas takwa. Takwa di hati, bukan yang terpampang di televisyen. Takwa di dalam, bukan diletak title dan gelaran. Dua isu rumahtangga yang disiar oleh media sehari dua ini yang agak sensasi hanya sekelumit dari masalah rumahtangga yang sangat banyak berlaku dalam masyarakat.

Kembalilah kepada syariat, nescaya hidup dan kehidupan anda selamat, berkat dan mendapat rahmat.

USTAZ NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 3/8/2020