PH yang dilanda krisis sukar bangkit kembali

SEJAK gagal menyekat kemaraan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen baru-baru ini khasnya dalam isu pelantikkan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat menggantikan yang dilantik Pakatan Harapan (PH) sebelumnya, PH terus dilanda krisis.

Gembar-gembur kononnya PH mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang cukup untuk mematahkan pengaruh Kerajaan PN ternyata kosong dan bohong belaka. PN kini memiliki 113 kerusi manakala PH hanya 109, itupun mungkin berkurang lagi dalam waktu terdekat apabila beberapa Shli Parlimen dijangka mengambil sikap menyokong PN termasuklah dari Sabah.

Malah hari ini keupayaan PH sendiri mula dipertikaikan, apabila blok pembangkang mereka itu telah berpecah dua, iaitu antara PH asal yang dianggotai PKR, DAP dan PAN dan blok Tun Dr Mahathir yang didokong wakil parti WARISAN dari Sabah.

Di dalam sebuah wawancara khas dengan akhbar Sin Chew Daily baru-baru, Presiden PKR Anwar Ibrahim mengakui bahawa hanya kini baru beliau sedar yang Tun Dr Mahahtir sebenarnya telah memperdayakan beliau.

Menurut Anwar dari sejak mula lagi bersama Tun dalam PH beliau menyangkakan yang Tun sejujurnya akan menepati janjinya dengan menyerahkan jawatan Perdana Menteri ke beliau selepas tempoh dua tahun setelah kemenangan PH.

Namun Tun acapkali merubah tarikh yang telah dipersetujui sehinggalah akhirnya beliau menyatakan kononnya berjanji akan melepaskan jawatan PM ke Anwar sejurus selesai Persidangan APEC dalam bulan November.  

Rupanya dengan takdir Tuhan, belum sempat November, pada 24 Febuari Tun tanpa berbincang sesama pimpinan PH telah mengambil keputusan meletakkan jawatan Perdana Menteri yang disandangnya sehingga mengakibatkan Kerajaan PH roboh dan perjanjian yang dimaksudkan menjadi sia-sia.

Sekiranya Tun tidak meletakkan jawatan Kerajaan PH mungkin masih berkuasa hingga hari ini.

Advertisement

Anwar menafikan bahawa PKR terlibat dalam memaksa Tun melepaskan jawatannya. Sebaliknya tindakan Tun adalah buatan tangannya sendiri.

Kekecewaan Anwar itu berasas dan dalam wawancara ini Anwar meluahkan betapa Tun memang tidak berkenginan melihatnya menjadi PM. Sepatutnya jika benar Tun berhadapan dengan masalah, ianya wajar dibincang sesama keluarga PH, dan jika terdesak mahu melepaskan jawatan atas apa sebab sekalipun, mengapa tidak diserah sahaja pada Anwar?

Mengapa perlu letak jawatan begitu sedang beliau sedar akibatnya Kerajaan PH akan roboh?

Kata Anwar lagi Tun sesungguhnya perlu bertanggungjawab atas kejatuhan Kerajaan PH. Tambahnya beliau tidak pasti adakah Tun terlibat dalam merancang membawa keluar BERSATU dari PH, tetapi pasti ada restunya dalam insiden ini.

Kerana itu pada hari ini Anwar mengakui walau kecewa beliau masih bersedia berkerjasama dengan Tun dari blok pembangkang. Namun demikian beliau sekali-kali tidak akan lagi bersetuju jika Tun dicalonkan sebagai PM, sebaliknya mendakwa kini calon bakal PM PH adalah beliau sendiri.

Kata Anwar di dalam wawancara itu lagi, Tun kini sudah tidak lagi mampu meraih sokongan dari kalangan Ahli-ahli Parlimen.

Berdasarkan perkembangan ini terbuktilah robohnya Kerajaan PH dan naik terbentuknya kerajaan baru PN benar-benar berpunca dari  masalah dan krisis dalaman PH yang terus berpanjangan dan membara sehingga ke hari ini.

Sudahlah mereka gagal menghadapi asakan PN di Parlimen, mereka pula bertelagah dan berpecah sesama sendiri.

Saban hari dilaporkan ahli-ahli dan pimpinan PKR dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak berbondong-bondong mengambil keputusan keluar parti kerana tidak lagi yakin kepada perjuangan dan saf kepimpinan parti.

Malah dalam PAN juga, ahli-ahli termasuk wakil-wakil rakyatnya sedang berura-ura untuk melompat meninggalkan parti serpihan itu.

Selain Kerajaan Negeri-negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah yang roboh kerana sokongan PH semakin rapuh di neger-negeri berkenaan, tidak mustahil dalam waktu terdekat ini Sabah, malah juga Selangor dan Negeri Sembilan juga berpotensi bertukar tangan.

Lalu bagaimanakah nasib dan masa depan PH sebenarnya dan blok para penyokong Tun?

Yang pastinya dalam keadaan berkecamuk dan berpecah sedemikian rupa, mereka sudah tidak lagi mampu mengancam kedudukan kerajaan PN di peringkat Persekutuan apatah lagi negeri-negeri yang PN kuasai.

Dalam pada itu rekod menunjukkan mereka juga gagal memberi ancaman pada Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional apabila kecundang berterusan dalam enam pilihan raya kecil, terakhir di DUN Chini dan kini mereka bakal kalah lagi dalam Pilihan Raya Kecil DUN Slim di Perak pula.

Anwar Ibrahim ternyata sudah tiada lagi memiliki aura sebagaimana dahulu. Rakyat sudah tidak mengindahkan lagi pekikan dan laungan “Reformasi” beliau. Apatah lagi Tun sendiri dan Mohamad Sabu, langsung tidak memiliki dukungan rakyat dewasa ini.

Sementara itu DAP pula terus terencat sejak hilang kuasa secara mengejut dan kini terkedu apabila Setiausaha Agung mereka naik turun dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas isu siasatan rasuah projek terowong Pulau Pinang.

Kesimpulannya PH sukar bangkit kembali dan jika kesempatan ini diurus dengan baik oleh MN dan PN, tidak mustahil PH akan disisihkan rakyat dan akhirnya pupus begitu sahaja dalam PRU15 nanti.

Lantas permuafakatan dan kerjasama dalam MN dan kini PN perlu diperkasakan.

Rundingan dan perbincangan perlu dipertingkatkan. Segala jenis masalah kecil mahupun besar perlu dicungkil keluar dan di atasi jangan dijadikan sebagai penghalang arus kebangkitan rakyat hari ini.

PH dijangka tersungkur, nafsunya kuat tetapi kekuatan tiada, maka ucaplah selamat jalan buat mereka dan dalam pada itu segera binalah kekuatan baru buat rakyat demi masa depan negara.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 1/8/2020