Kerajaan mesti hukum The Star

PAS Terengganu mengutuk sekeras-kerasnya akhbar The Star atas sikap biadab dan tidak tahu menghormati umat Islam, kumpulan terbesar di Malaysia ini kerana menyiarkan gambar sekumpulan orang Islam yang sedang bersolat jemaah dengan tajuk muka depan yang mengaitkan Islam dengan keganasan. Walaupun isi dan gambar berita yang berlainan, tapi jelas ia boleh mengelirukan pembaca.

Advertisement

Kegagalan The Star dalam menghormati sensitiviti umat Islam ini, bukanlah kali pertama berlaku. Pada tahun 2006, disiarkan gambar Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bersebelahan dengan gambar iklan arak.

Pada tahun 2011 pula, The Star tanpa ada rasa hormat, telah menyiarkan iklan hidangan masakan berasaskan babi dan menawarkannya sebagai hidangan berbuka puasa oleh sebuah restoran yang tidak mempunyai sijil halal.

Tidak puas dengan itu, pada tahun 2015, The Star kembali menyemarakkan kemarahan umat Islam dengan menyiarkan iklan minuman keras di muka depan akhbar mereka.

Kini setelah beberapa jam menyiarkan gambar dan tajuk berita yang boleh mengelirukan pembaca bahawa Islam adalah agama keganasan, mereka memohon maaf, sama seperti mana yang mereka lakukan setelah beberapa kali meniupkan api keagamaan.

PAS Terengganu mendesak kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar mengenakan hukuman yang maksimum kepada The Star atas beberapa kesalahan yang hampir sama yang telah dilakukan. Amat malang bagi rakyat Malaysia jika pengurusan The Star dibebaskan lagi kerana rakyat Malaysia memerlukan kerajaan yang tegas dan tidak mahu kepada penghasut agama seperti The Star. Seseorang mesti dipertanggungjawabkan atas kejahatan ini apatah lagi sudah beberapa kali The Star memilih Ramadhan sebagai waktu pilihan mereka menyebarkan onar ini.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu