Kenapa perlu hadir ke Ijtimak Perpaduan Ummah (Rantau Asia)?

INSYA-Allah, kita akan menganjurkan Ijtimak Antarabangsa di Kota Bharu dengan tujuan untuk menyatukan umat Islam khususnya di Rantau Asia Tenggara yang masih lagi terpelihara kemurniannya walaupun terdapat kesan-kesan penjajahan yang belum sembuh. Sekurang-kurangnya kita dapat menghindarkan daripada berlaku krisis malang di Asia Barat pada hari ini yang telah menghancur-leburkan umat Islam.

Advertisement

Rantau Asia Tenggara merupakan daerah Islam yang mengandungi umat Islam terbesar, lebih kurang 300 juta umat Islam di rantau ini. Walaupun kita dipisahkan oleh sempadan geografi yang diwujudkan oleh penjajah, tetapi masih ada unsur-unsur kesatuan kita bukan sahaja dari segi Islamnya, bahkan dari kekeluargaan, masih ada jalinan itu di Rantau Asia Tenggara ini.

Kita mengharapkan supaya usaha musuh-musuh untuk mengadu-dombakan umat Islam di rantau ini akan gagal. Saya difahamkan perhimpunan ini akan mengumpulkan pimpinan ummah di kalangan pemimpin-pemimpin politik Islam, dan juga kalangan NGO Islam, termasuk kalangan ulama yang masih lagi mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam masyarakat.

Di mana unsur-unsur ini kita yakin dan percaya, kalau dihimpunkan, diorganisasikan dengan sebaik-baiknya, kita akan dapat mengembalikan semula kesatuan umat di rantau ini secara awalan dan akan diikuti dapat menyelamatkan rantau ini daripada anasir-anasir yang cuba mewujudkan ketegangan dalaman umat.

Kita mengharapkan rantau Asia Tenggara sekali lagi menjadi tempat kepada Islam untuk bertapak menyinarkan cahayanya, dan bukan sahaja cahayanya tidak dapat dipadamkan, bahkan akan lebih menerangi rantau ini untuk memberi rahmat kepada seluruh alam sebagaimana mesej daripada Nabi Muhammad S.A.W,

“Dan tidaklah Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan membawa rahmat kepada seluruh alam.” (al-Anbiya’: 107)

Sekali lagi saya mengharapkan supaya semua pihak akan mendukung, menyokong dan menyertai ijtimak ini, insya-Allah.

#IJTIMAKASIA: KENAPA PERLU HADIR KE IJTIMAK ANTARABANGSA PERPADUAN UMMAH (RANTAU ASIA)?

Tontoni video ucapan ringkas YB. Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia untuk mendapatkan jawapannya.

https://www.facebook.com/ijtimakasia/videos/709417059265784/

Perhimpunan Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) ini akan diadakan pada tarikh dan tempat berikut:

Hari: Khamis – Sabtu
Tarikh: 20 hingga 22 Julai 2017
Lokasi: Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Kelantan.

Jemput hadir ramai-ramai. Tolong sebarkan.
#malaysia