Apa ada pada Hari Bandar Warisan Dunia Georgetown?

TANGGAL 7 Julai setiap tahun merupakan cuti umum di negeri Pulau Pinang bagi menyambut Hari Warisan Dunia (World Heritage Day). Bandaraya Georgetown yang ditubuhkan pada 1839 begitu kaya dengan warisan bahasa, budaya, tarian, pakaian, muzik, makanan termasuklah warisan bangunan dan seni bina.

Advertisement

Justeru itu, kawasan seluas 260 hektar dalam Georgetown telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang terdapat di dalam pelbagai  bangunan dan tapak bersejarah bersejarah seperti Masjid Kapitan Keling, Masjid Lebuh Acheh, Padang Kota Cornwallis, Jeti Kampung Kongsi (Clan Jetty dan Chew Jetties) di Weld Quay, Little India, Padang Kota Lama, Dewan Sri Pinang (City Hall) dan lain-lain.  Kesemua tapak warisan tersebut wajar dipertahankan bukan sahaja sebagai tarikan pelancongan tetapi juga untuk tatapan generasi hadapan untuk lebih memahami sejarah dan keunikan negeri Pulau Pinang.

FortCornGambar kiri: Peta awal Kota Cornwallis oleh Kapten H.B Popham (1789) 

 

 

Gambar kanan: Tapak Warisan Dunia UNESCO-Georgetown; zon teras (jingga) dan zon penampan (hijau).TapakUnesco

Umum telah sedia maklum bahawa Georgetown ini telah mula dimajukan sebagai sebuah kota atau bandar pelabuhan pada 1786 oleh British melalui wakil Syarikat Hindia Timur iaitu Francis Light yang disebut sebagai ‘pengasas’ Pulau Pinang. Persoalannya, jika kita merasakan peri pentingnya untuk menjaga tapak warisan yang kebanyakan wujud selepas pendudukan British di Pulau Pinang, mengapakah usaha yang sama tidak diberikan untuk menjaga tapak warisan sejarah Pulau Pinang sebelum pendudukan British di negeri ini?

Selain Tanjong (kini Georgetown), terdapat begitu banyak sekali tapak warisan dan kampung tradisi yang telah pun wujud sejak ratusan lamanya serta diwarisi sehingga beberapa generasi. Kampung tradisi dan penempatan warisan seperti Kampung Tanjong Tokong, Kampung Batu Uban, Kampung Dalca, Kampung Dodol, Kampung Buah Pala, Kampung Makam, Kampung Bagan Dalam, Kampung Padang Benggali, Kampung Selut dan pelbagai kampung lagi bukan sahaja tidak pelihara malah sebahagian daripadanya telah pun lenyap.

KgJetiGambar kiri: Kampung Jeti Kongsi (Clan & Chew Jetties) di Weld Quay

KgTok

 

 

Gambar kanan: Kampung Tanjong Tokong suatu ketika dahulu (1906) sebelum lenyap ditelan arus pembangunan.

Ancaman kepupusan kampung-kampung tradisi terutamanya di daerah Timur Laut telah berlaku akibat pertembungan dengan aktiviti pesat pembangunan di negeri ini. Namun, faktor paling utama adalah tiadanya kesedaran dan sikap juling sejarah mengenai kepentingan nilai warisan yang wujud sekian lama khasnya sebelum era penjajahan British di Pulau Pinang. Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak peka sehingga tega memberikan kelulusan kepada projek pembangunan di tapak warisan kampung tradisi. Contohnya Kampung Batu Uban selaku penempatan terawal masyarakat di negeri ini masih boleh diselamatkan sekiranya pihak berkuasa menghormati nilai sejarah yang dimilikinya.

Biarpun tiada pihak yang boleh menghalang penjualan dan pembelian tanah di tapak warisan dan kampung tradisi ini, mekanisme untuk menyelamatkan tapak terbabit perlu diketengahkan oleh pihak berwajib. Umpamanya meminda undang-undang supaya jual beli tanah tapak warisan ini hanya boleh dilakukan kepada kerajaan negeri atau mengenakan terma tertentu seperti pemeliharaan kawasan bernilai sejarah tinggi sebelum mendapat kelulusan pihak berkuasa untuk proses jual beli tanah.

Selain daerah Timur Laut, kampung tradisi dan tapak warisan di daerah Barat Daya juga bakal berdepan risiko hilang dari peta akibat ancaman pembangunan yang tidak cakna nilai sejarah. Kampung tradisi seperti Kampung Sungai Tiram, Kampung Sungai Nibong Kecil, Kampung Binjal, Kampung Teluk Kumbar, Kampung Batu Maung, Kampung Permatang Damar Laut serta lain-lain telah dan bakal lenyap dengan pembinaan projek perumahan mewah seperti pembinaan kondominium di Kampung Sungai Nibong.

Selain itu, pelaksanaan projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (Penang Transport Master Plan) juga bakal meyumbang kepada hilangnya kampung tradisi di negeri ini kerana akan melibatkan bukan sahaja pengambilan tanah malah aktiviti penambakan laut. Skim Tambakan Selatan (South Reclaimation Scheme) umpamanya akan melibatkan penambakan laut yang membentuk tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang dengan jumlah keluasan hampir 1700 hektar.

Projek mega seperti New Smart Green City dan Waterfront Residential Area yang bakal dimajukan itu akan mengubah landskap di sekitar pekampungan yang ada di Bayan Lepas, Teluk Kumbar, Batu Maung, Gertak Sanggul, Balik Pulau sehinggalah ke Teluk Bahang. Tidak cukup dengan itu, projek-projek tersebut juga akan menjejaskan mata pencarian lebih daripada 300 keluarga nelayan serta memusnahkan ekosistem dan habitat hidupan air di sekitarnya.

SkimTamSkim Tambakan Selatan (South Reclamation Scheme): Pulau Buatan A, B dan C

Justeru itu, usaha mewartakan kampung-kampung tradisi di negeri Pulau Pinang di bawah Akta Warisan atau Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 harus digembeling sebagai langkah untuk mempertahankan bukan sahaja nilai sejarah asal Pulau Pinang malah kemandirian dan identiti masyarakat yang telah menetap di negeri ini sejak bergenerasi lamanya.

Maka langkah awal harus bermula dengan mewujudkan inventori kampung tradisi untuk diwartakan termasuk mendefinasikan maksud kampung tradisional kerana bukan semua 660 lebih kampung di Pulau Pinang boleh dianggap termasuk dalam kategori tersebut. Apabila usaha sebegini digerak dan dipastikan, barulah dikatakan warisan sejarah asal negeri Pulau Pinang benar-benar terpelihara dan dihargai secara seimbang dengan sejarah warisan tinggalan British pasca Francis Light.

Jika tidak, kita bakal mewariskan sisi tempang sejarah yang akan melahirkan generasi buta dan tuli sejarah sehingga mereka lupa identiti masyarakat malah mungkin merempat di tanah sendiri akibat tenggelam dengan arus pembagunan tanpa apresiasi sejarah.

DR MUHAMMAD ZABIDI
Exco Lajnah Tanah dan Peneroka Bandar
Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 7/7/2017