Tinjauan online Malaysiakini terhadap Tun M meragukan?

TERKEJUT dan tersenyum saya apabila membaca rumusan tinjaun online malaysiakini yang dibuka selama 7 hari semenjak 20 Julai yang lalu.

Advertisement

Tinjauan yang merumuskan bahawa 75% daripada 11,200 responden (8400) versi Bahasa Melayu, 69% daripada 8,300 responden (5727) versi Bahasa Inggeris dan 63% daripada 2,200 responden (1386) versi Bahasa Cina percaya kepada Tun Mahathir.

Perkara pertama yang mengejutkan saya adalah jumlah responden seramai 21,700 orang yang dijadikan sampel oleh media online itu, walaupun malaysiakini pernah mencatatkan jumlah pelawat sebanyak 2.7 juta orang satu ketika dahulu. Bukankah pembaca malaysiakini bermaksud mereka yang melayari laman web berita online itu tanpa mengambilkira peranan mereka sebagai responden ataupun tidak ketika tinjaun dibuat?.

Kemana pergi baki jutaan pembaca malaysiakini yang lain pada hari ini? Wajarkah jumlah 21,700 itu mewakili keseluruhan jumlah sebenar pembacanya? memadaikah sikap kebolehpercayaan mereka terhadap Tun Mahathir disandarkan pada jumlah responden itu sahaja atau sepatutnya melibatkan keseluruhan pembaca malaysiakini yang melayari laman web berita itu dalam tempoh 7 hari tinjauan tetapi tidak mahu mengambil bahagian sebagai responden? Jika faktor ini diambilkira, saya yakin peratusan sebenar akan jauh lebih kecil dari yang dilaporkan.

Sebagai contoh, jika 100,000 pembaca malaysiakini (belum diambilkira 2.7 juta pembaca tertinggi yang pernah direkodkan lagi) yang melayari laman berita itu dalam tempoh 7 hari tinjauan (saya yakin malaysiakini ada maklumat ini), tetapi hanya 21,700 sahaja yang setuju untuk mengambil bahagian sebagai responden manakala yang lain tidak mahu atas sebab-sebab tertentu, maka keputusan sebenar yang menggambarkan sikap keseluruhan pembaca malaysiakini terhadap Tun Mahathir adalah seperti berikut:

Pembaca versi Bahasa Melayu : 8400 / 100 ribu = 8.4%
Pembaca versi Bahasa Inggeris : 5727 / 100 ribu = 5.7%
Pembaca versi Bahasa Cina :  1386 / 100 ribu = 1.4%

Kenapa jumlah sebenar pelayar laman web berita itu selama tempoh 7 hari tinjauan (khususnya yang tidak mengambil bahagian sebagai responden) tidak diwawarkan atau diambilkira sama dalam rumusan tinjauan?

Saya tertanya-tanya juga apakah motif sebenar tinjauan atau kajian dibuat? Adakah kerana usaha ‘damage control’ terhadap reaksi negatif majoriti penyokong PAKATAN HARAPAN terhadap Tun Mahathir ketika forum anjuran Kelab Bangsar Utama baru-baru ini?

Sama-sama kita fikirkan. – HARAKAHDAILY 30/7/2017