PAS telah jauh tinggal semua pesaing politik

WALAU dimomokkan dengan pelbagai tuduhan, fitnah dan persepsi negatif, fakta dan realitinya jelas menunjukkan bahawa PAS telah jauh meninggalkan semua pesaing politik dalam membudayakan politik matang dan sejahtera.

Advertisement

Ketika perhimpunan anjuran parti lain seperti DAP, PKR, MIC, MCA, Bersatu, PAN dan Umno masih diselitkan dengan tentatif selingan acara baling kerusi, terbalik meja, baling kasut, baling mikrofon dan sebagainya, seingat saya sejak mula mengenali politik PAS dari tahun 80-an lagi, tak pernah kedengaran dalam PAS berlakunya insiden sebegini.

drazman1Bukti yang nyata bahawa politik Islam yang dibawa PAS berjaya mengasuh dan mendidik ahli serta penyokong berfikiran dengan cara yang bertamadun berbanding dengan parti lain. Kalau ada insiden baling membaling yang pernah berlaku sebelum dari tahun 80-an, mereka yang lebih lama dalam politik boleh menceritakannya.

Yang biasa saya dengar dan alami sendiri ialah peristiwa orang PAS kena baling. Penceramah PAS dibaling dengan telur busuk, dibaling batu dan kayu, dibaling dengan kapak, dibaling bom asap malah ada yang pernah terkena balingan najis.

Itupun parti PAN belum lagi berjaya mengadakan perhimpunan agung parti mereka walau cakapnya berdegar-degar. Kalau berjaya buat, kita tak tahu apa yang akan mereka baling sebab jika seorang presiden parti yang berucap di atas pentas boleh baling mikrofon, bagaimana pula dengan pengikut?

PAS dengan budaya politik bertamadun yang penuh kematangan dan kesejahteraan menolak sepenuhnya budaya politik kasar, beremosi tanpa didasari dengan hujah dan fakta. Bagi PAS hujah perlu dibalas hujah. Di sini bukan medan untuk kita beradu kekerasan fizikal.

Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tubuhnya tak besar kalau dibandingkan dengan orang lain, tetapi telah berjaya memimpin Kelantan selama 23 tahun. Sebabnya Almarhum Tok Guru memimpin bukannya dengan cara nak ajak Umno berlawan gusti! Kekuatan Almarhum Tok Guru adalah akal yang dipandu dengan pertunjuk wahyu.

PAS berada di medan ini untuk merubah masa depan negara dengan politik aman serta bertujuan bagi mengajak rakyat mencari kesejahteraan bersama Islam.  Berlakunya acara baling membaling, pukul memukul, tumbuk menumbuk, kejar mengejar serta yang sewaktu dengannya dalam sebarang program politik adalah reflek dan cerminan kepada  cara berfikir yang masih ketinggalan. Kita menuntut budaya politik primitif sebegini dihentikan segera walau dengan apa alasan sekalipun.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
15 Ogos 2017 – HARAKAHDAILY 15/8/2017