PAS ingin membawa manusia supaya merdeka

Husain2

ISLAM menegaskan bahawa hubungan antara tuan dan hambanya bukan bertujuan untuk menindas, menghina atau mengeksploitasi, sebaliknya ia bersifat persaudaraan dan kasih sayang, kerana Allah melarang manusia memperhambakan sesama mereka.

Advertisement

Sesungguhnya perhambaan manusia itu, hanya mutlak kepada penciptanya, Allah SWT sahaja.

Islam telah memerdekakan jiwa manusia daripada menjadi hamba sesama manusia, kepada hanya menjadi hamba kepada Allah, sebagaimana disebut oleh Rib’i bin ‘Amir di hadapan Panglima AngkatanTentera Parsi, “Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendakiNya dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat”.

Justeru, Allah memberikan akal dan ilmu serta kebebasan kepada manusia untuk berfikir dan menentukan apa yang terbaik kepadanya.

Sebagaimana sahabat Nabi SAW Bilal bin Rabah, walaupun pada masa dirinya masih menjadi hamba sahaya kepada tuannya, tetapi Islam telah berjaya memerdekan jiwanya dan dia tidak tunduk kepada kehendak tuannya yang sesat, sekalipun tubuhnya diseksa di terik mentari, namun jiwa merdeka hanya tunduk pada ilahi.

Sesungguhnya, nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepada manusia ialah apabila mereka mampu memerdekakan diri mereka dari segala fahaman dan anutan yang bercanggah dengan Islam.

Tidak ada ada ertinya, jika sesuatu kemerdekaan itu sekiranya manusia terikat dengan sistem-sistem seperti kapitalis dan komunis yang menjadikan manusia sebagai alat ekonomi.

Negara yang merdeka bukan sahaja negara yang bebas dari penjajahan asing tetapi juga negara yang mempunyai warga yang bebas minda dan keyakinan mereka daripada belenggu perhambaan sesama manusia sama ada dalam bentuk idealisma mahupun amalan praktikal seharian.

Kemerdekaan negara ini daripada penjajahan British 60 tahun yang lalu, seharusnya diisi dengan pengabdian yang sempuna kepada Allah semata-mata. Taat dan patuh kepada Allah dengan melaksanakan segalanya perintahnya mencakupi siasah, ekonomi dan seluruh kehidupan manusia berlandaskan syariat yang diturunkan oleh Allah.

PAS ingin membawa manusia supaya merdeka, jiwa dan raga mereka kepada undang-undang kehidupan yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran yang diturunkan olehNya dan menuruti jejak as-Sunnah Nabi Muhammad SAW.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-60!

Dato’ Ustaz Husain Awang
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu