Syabas atlet Malaysia, juara Sukan SEA 2017

DACS Malaysia mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh atlet negara kerana telah mencapai sasaran untuk menjadi juara keseluruhan di temasya sukan terbesar Asia Tenggara, Sukan SEA 2017.

Advertisement

Malaysia menjadi juara keseluruhan dengan memungut sebanyak 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa. Pungutan pingat ini telah meninggalkan Thailand untuk berada di tempat kedua dengan kutipan 72 emas, 86 perak dan 88 gangsa. Manakala Vietnam pula di tempat ketiga dengan kutipan pingat sebanyak 58 emas, 50 perak dan 60 gangsa.

MfadzliDACSMalaysia kali terakhir menjadi tuan rumah Sukan SEA ialah pada tahun 2001 dan seterusnya menjadi juara keseluruhan dengan kutipan pingat sebanyak 111 pingat emas, 75 perak dan 85 gangsa.

DACS Malaysia juga mengucapkan tahniah kepada Majlis Sukan Negara (MSN) kerana membuat persiapan rapi para atlet negara sehingga mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam Sukan SEA kali ini.

Program Persediaan Atlet ke arah Sukan SEA 2017 yang merangkumi tiga fasa yang dinamakan ‘Kita Juara 2017’ yang bermula pada bulan September 2015, dua tahun lepas sehinggalah bermulanya temasya Sukan SEA 2017 pada 19 Ogos yang lalu.

Program ‘Kita Juara 2017’ ini telah dilaksanakan bagi mengulangi kejayaan Kuala Lumpur 2001 di mana Malaysia berjaya sebagai tuan rumah dan sekaligus menjadi juara keseluruhan selepas memungut 111 pingat emas ketika itu.

Berita baik buat rakyat Malaysia apabila sebanyak 30.9 peratus atlet berada di bawah umur 21 tahun yang terlibat dalam Sukan SEA kali ini dan 445 atlet membuat penampilan pertama dalam Sukan SEA. Program ini turut menggabungkan atlet junior dan senior di dalam satu pasukan dan natijahnya amat baik sekali kepada pasukan negara pada masa depan. Kita telah menyediakan pasukan pelapis negara pada hari ini.

DACS Malaysia turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin bersama-sama dengan Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) di bawah Datuk Seri Zolkples Embong kerana telah menguruskan temasya dwitahunan ini dengan begitu baik sekali.

Akhir kalam, DACS Malaysia berharap agar kecemerlangan ini dapat diteruskan bagi menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast, Australia pada tahun depan.

MUHAMMAD FADZLI ABU BAKAR
Pengarah,
Department of Arts, Culture and Sports (DACS).
Dewan Pemuda PAS Malaysia. – HARAKAHDAILY 1/9/2017