Doktor sado sambut kelahiran

SAYA rasa ibu hamil yang membuat kenyataan ingin menempah doktor sado kacak semasa proses kelahiran bayi beliau itu sudah keterlaluan. Mungkin doktor sado itu ada kepakaran tetapi niat di sebalik pengakuan berkenaan perlu dinilai semula.

Advertisement

drsuhazeli2Pun begitu saya tidak menafikan bidang kepakaran sakit puan adalah salah satu bidang yang mendesak di semua premis kesihatan dalam negara kita. Ianya memerlukan pengalaman dan kemahiran khusus. Walau proses bersalin itu adalah satu proses lumrah kehidupan, tetapi apa sahaja komplikasi yang mendatangkan mudarat kepada ibu dan anak boleh berlaku.

Justeru ianya memerlukan pengkhususan dalam merawat. Pakar yang hadir merawat semasa proses kelahiran tanpa mengira jantina akan berusaha menyelamatkan nyawa si ibu dan anak sedaya mampu berdasarkan kepakaran yang diperolehi. Doktor yang mengambil bidang kepakaran ini sudah pasti telah ditapis berdasarkan kesungguhan, ketahanan, ketabahan dan rekod cemerlang mereka timba sebelum ini.

Bahkan hal demikian saya sedaya mungkin akan mengambil pendekatan untuk mendahulukan doktor wanita dalam merawat pesakit wanita khususnya semasa bersalin. Namun jika tiada pilihan pada waktu yang cemas, doktor lelaki dibolehkan.

Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri pernah menulis: “Tidak dibenarkan di sisi Hukum Syarak bagi lelaki untuk melihat kepada aurat wanita ajnabi, melainkan terdapat ḥājah (keperluan) dan ḍarurah (keperluan mendesak) untuknya.
Justeru harus bagi lelaki merawat wanita dan wanita merawat lelaki, dengan syarat

i) Jika wujud perawat yang muslim, maka tidak boleh digantikan.

ii) Ditemani oleh mahram, suami atau wanita yang thiqah (terpercaya).

iii) Ketiadaan perawat wanita, atau perawat lelaki bagi pesakit lelaki.

iv) Perawat boleh melihat kepada bahagian-bahagian badan selama mana ada keperluan kepadanya. Ini berdasarkan hadis Jabir RA:

أَنَّ أُمَّ سَلَمَةَ اسْتَأْذَنَتْ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْحِجَامَةِ فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبَا طَيْبَةَ أَنْ يَحْجُمَهَا قَالَ حَسِبْتُ أَنَّهُ قَالَ كَانَ أَخَاهَا مِنَ الرَّضَاعَةِ، أَوْ غُلَامًا لَمْ يَحْتَلِمْ

Maksudnya: “Bahawa Umm Salamah (isteri Nabi SAW) meminta izin daripada Rasulullah SAW untuk berbekam lalu Nabi meminta Abu Taibah untuk menjalankan rawatan bekam ke atas Umm Salamah.”
Berkata Jabir: “Aku kira bahawa Abu Taibah itu adalah saudara susuan Umm Salamah atau budak kecil yang belum baligh.”
~ Hadis riwayat Muslim (2206)
.
Prosedur yang ditetapkan oleh sesebuah premis kesihatan adalah mempunyai kepentingan perkhidmatan tersendiri. Wad bersalin atau seumpamanya tidak sepenuhnya dipenuhi oleh perawat wanita. Ini kerana jadual kerja, jumlah perawat wanita berbanding lelaki akan membatasi. Walaupun syariat melarang doktor lelaki melihat aurat wanita atau sebaliknya, perkara ini terlalu amat sukar untuk diatasi dari sudut pentadbiran. Syariat bukan sesuatu yang rigid, jika nampak jalan kehidupan sempit, syariat boleh diperluaskan. Inilah indahnya usul fiqh.
.
Adakah ratio doktor:pesakit dalam negara kita masih tidak mencukupi? Saya difahamkan ratio doktor:pesakit adalah 1:800. Ianya satu jumlah yang masih jauh tidak mencukupi. Ratio itu tidak mengira lagi pecahan doktor lelaki:wanita. Pertikaian akan tetap berlaku antara pihak pentadbiran dan pesakit selagi jumlah doktor berdasarkan ratio tadi masih belum mencukupi. Andaikata doktor wanita sahaja yang menguruskan bidang sakit puan pada masa sekarang, akan mengakibatkan sistem dan perjalanan merawat di unit-unit lain akan terjejas. – HARAKAHDAILY 18/11/2017