Hormati Mahkamah Syariah, pelihara keharmonian agama

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan kelmarin yang membatalkan penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah kepada Islam dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan ibunya, M Indira Gandhi membuka mata dan mendapat perhatian utama. Keputusan Mahkamah Persekutuan yang menetapkan keputusan pada tahun 2007 tidak mengikat berkaitan dengan tafsiran makna ‘ibu bapa’ menjadi sebab keputusan ini dibuat. Mahkamah dihakimi lima panel hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Richard Malanjum, Zainun Ali, Abu Samah Nordin dan Ramly Ali.
 
Keputusan ini memberi maksud bahawa kedudukan Islam tiga orang anak Muhammad Ridhuan Abdullah yang di-Islamkan sejak tahun 2009 tidak sah dan terbatal. Ketika mereka di-Islamkan tahun tersebut, kanak-kanak berkenaan itu masing-masing berusia 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan. Keputusan ini juga memaksa si bapa, Muhammad Riduan Abdullah, memulangkan anak bongsu mereka kepada ibunya.
 
Kes ini boleh menjadi kes rujukan di masa akan datang. Keadaan ini akan menimbulkan kegelisahan yang berpanjangan di kalangan umat Islam. Persoalan kekeluargaan, hak jagaan anak-anak serta identiti agama anak-anak yang ibu bapanya memeluk Islam terus menghantui masyarakat yang boleh merencatkan usaha dakwah di negara ini. Ibu atau bapa yang mahu memeluk Islam akan dilanda ketakutan kerana hilang hak membawa anak-anak bersama ke dalam agama Islam.
 
Kewujudan Mahkamah Syariah yang dipinda tahun 1988 dengan memasukkan perenggan 1A Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan bagi memelihara umat Islam di negara ini serta mengangkat kedudukan agama Islam di negara ini. Perenggan 1A ini menghadkan Mahkamah Sivil tidak boleh mencampuri perkara-perkara yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Namun dengan keputusan semalam, membuktikan bahawa Mahkamah Syariah masih di bawah pengaruh Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah tidak bebas dari diganggu gugat oleh mahkamah Sivil. Kedudukan Mahkamah Syariah pula tidak langsung mengganggu hak orang bukan Islam di Malaysia, tetapi mengapa hak umat Islam sering diganggu oleh bukan Islam melalui Mahkamah Sivil? Keputusan ini boleh menggugat keharmonian antara agama dalam konteks Islam sebagai agama Persekutuan.
 
Dalam Islam, menurut pandangan empat mazhab dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah, jika ibu atau bapa memeluk Islam anak perlu mengikutnya. Ia berdasarkan kepada mazhab Syafie, Hanafi dan Hambali. Manakala Mazhab Maliki pula berpandangan jika bapa yang memeluk Islam anak perlu mengikutnya, kerana anak dinasabkan kepada bapa dan bukan ibu. Namun anak boleh membuat pilihan sekiranya dia telah berusia 18 tahun ke atas.
 
Polemik ini perlu dihentikan segera bagi mengelakkan perbalahan agama dan kaum di negara ini. Yang dibimbangkan adalah polemik seperti ini berterusan dengan banyak lagi kes akan timbul dan persoalan yang bangkit, yang boleh menyebabkan keharmonian antara agama tergugat. Akhirnya umat Islam akan rugi, agama Islam dipinggirkan, diperlekeh dan dihina dengan mudah. Tiada makna lagi negara ini yang dianggap sebagai sebuah negara Islam jika nilai agama Islam lebih rendah dari kedudukan agama lain di negara ini.
 
Sebagai mendokong Perlembagaan Persekutuan Perkara 3(1) yang menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, maka bidang kuasa Mahkamah Syariah juga perlu diperkasakan dan dimantapkan. Justeru Perenggan 1A kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan perlu dihayati dan dihormati oleh semua pihak. Hanya dengan ini agama Islam terus dihormati, di amalkan dan dilaksanakan di negara ini.
 
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat
HARAKAHDAILY 31/1/2018
Advertisement