Perjuangan PAS dalam kerangka demokrasi

1. PAS sebagai sebuah Harakah Islamiah di Malaysia telah memilih jalan muwajahah silmiyyah (kaedah pertentangan secara aman) iaitu dengan jalan demokrasi sebagai parti yang menyertai pilihan raya.

Advertisement

2. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah An-Nahl, ayat 125, yang menceritakan pendekatan hikmah dan kebijaksanaan dalam usaha menyampaikan Islam merupakan pendekatan yang terbaik. PAS melihat jalan demokrasi merupakan method atau pendekatan terbaik dalam usahanya untuk menyampaikan dakwah Islam dan memerintah dengan adil.

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

UMohdAsri 23. PAS menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk terus memastikan agenda Islam dapat diperjuangkan dalam suasana demokrasi. Segenap aspek PAS berusaha untuk menterjemahkan dasar dan nilai Islam dalam kerangka sebuah parti yang memerintah dan membangkang.

4. PAS memilih jalan demokrasi kerana menyedari jalan yang lain selain dari demokrasi, seperti revolusi, peperangan akan menimbulkan pertembungan di kalangan rakyat sesama sendiri sehingga boleh menggugat keamanan dan kesejahteraan negara. Semestinya ia bukan amalan dan budaya yang cocok dengan peradaban Malaysia dari sudut sejarah.

5. PAS istiqamah menyertai pilihan raya daripada pilihan raya umum yang pertama sejak tahun 1955 sehingga Pilihan raya Umum ke 14 yang akan datang ini. PAS tetap istiqamah menghantar calon bertanding walau belum diizinkan Allah untuk berkuasa dan memerintah di peringkat kerajaan persekutuan. Sepanjang tempoh tersebut, tidak pernah sekalipun PAS tidak mempunyai kerusi dalam Dewan Rakyat. Dalam masa yang sama, PAS telah membuktikan kemampuan memerintah dengan adil dan saksama di beberapa negeri yang pernah dimenangi PAS sama ada dengan gabungan beberapa parti atau bersendirian seperti di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor.

6. PAS telah menunjukkan perjuangan yang konsisten dalam usaha pelaksanaan syariat serta undang-undang Islam melalui kerangka demokrasi. Setelah memenangi negeri Kelantan pada tahun 1990, PAS secara beransur-ansur melaksanakan syariat Islam dalam pelbagai segmen dan ruang lingkup, termasuklah berkaitan perundangan.

7. Pemerintahan di Kelantan sebagai contoh menyaksikan PAS berjaya melaksanakan dasar dan polisi berteraskan syariat. Kelantan menjadi negeri pertama yang tidak menggunakan perbankan konvensional dalam pentadbiran negeri. Selain itu, pelaksanaan Ar-Rahn pertama sebagai pusat pajak gadai emas berkonsepkan Islam. Penetapan polisi pembinaan rumah 3 bilik bagi kesejahteraan keluarga Islam, pelaksanaan cuti bersalin 90 hari, cuti khas bagi perempuan dalam iddah, dasar Bertani Satu Ibadah dan pelbagai lagi yang sebahagiannya akhirnya dilaksanakan diseluruh negara apabila terbukti kebaikannya.

8. Dalam pada itu, PAS tidak melupakan aspek Nahi Mungkar dan Hisbah rakyat sebagai dengan melaksanakan pelbagai polisi termasuklah menutup tempat judi dan kedai arak kepada orang Islam, mengenakan kompaun kepada rakyat berpakaian menjolok mata, memberi amaran keras kepada lelaki yang tidak hadir solat Jumaat, dan pelbagai lagi. Usaha ini dilengkapkan dengan usaha penerangan dan dakwah melalui pemerkasaan masjid dan pondok, pembinaan ratusan pusat pendidikan dan program Halaqah peringkat negeri yang melibatkan semua kawasan.

9. Sebagai tanda komitmen dalam melaksanakan perintah Allah kepada pemerintah dalam melaksanakan undang-undang, PAS melalui Dewan Undangan Negeri telah meluluskan Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Negeri Terengganu dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 sepanjang memerintah Terengganu dan Kelantan. Namun begitu, ia tidak dapat dilaksanakan atas faktor punca kuasa yang terhad diperingkat peringkat persekutuan. Namun, PAS tetap berusaha walaupun sebagai pembangkang di Parlimen dengan Usul Persendirian bagi pindaan akta 355 dalam usaha memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah.

10. Apa yang menarik, dasar Islam melalui slogan ‘Membangun Bersama Islam’ tidak langsung mendatangkan kemudaratan kepada bangsa dan agama lain. Bahkan, kesejahteraan dan keharmonian jelas terpancar di bumi Kelantan. Tidak pernah walau sekali, timbul isu diskrimimasi atau perbalahan antara kaum, secara tidak langsung memberi gambaran rahmah yang dibawa oleh Islam kepada semua.

11. Dengan pencerahan ringkas ini, dapatlah disimpulkan bahawa perjuangan PAS dalam memperjuangkan sebuah negara yang terdiri di dalamnya dasar dan nilai Islam dalam konteks demokrasi adalah suatu komitmen dengan bukti, bukan sekadar slogan. Rakyat harus memberi kepercayaan kepada PAS bagi melihat sebuah negara sejahtera dengan acuan Islam.

“Membangun Negara Yang Sejahtera”

USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
29 Rejab 1439H / 15 April 2018 – HARAKAHDAILY 15/4/2018