PITAS realisasi Manifesto PAS Terengganu

MONSUN perubahan melanda Terengganu 

Advertisement

Angin seruan ke arah perubahan bertiup kencang ke seluruh negara. Kemuakan rakyat terhadap BN semakin kuat terasa. Tekanan hidup pasca GST membuatkan rakyat terutama golongan bawahan menuntut perubahan pentadbiran negara.

Angin penolakan yang melanda ini tidak mengecualikan Negeri Terengganu. Selepas satu persatu tragedi runtuh, negeri ini diejek sebagai Darul Runtuh. Projek-projek terbengkalai tak dapat ditutup, bangkai gajah busuk mencacatkan keindahan landskap negeri tumpuan pelancong ini. Pengangguran, harga barang termahal di Malaysia, jenayah, dadah, semua itu menjadi arang yang menconteng wajah negeri tercinta ini. Ditambah lagi dengan bas Amficoach rosak, stadium runtuh dan Taman Ilmu Besut menjadi ‘mercu tanda kecemerlangan’ BN menggelapkan kekayaan negeri.

BN cuba bertahan dengan slogan ‘Terengganu Molek Doh‘, namun dibalas sinis oleh rakyat dengan laungan ‘Lok Koho Punoh!‘.

Manifesto PAS menawan hati

Rakyat mula tertarik dengan tawaran PAS Terengganu melalui manifesto yang ditawarkan. Air percuma, lot rumah kediaman untuk setiap isi rumah, wad kelas tiga percuma dan 20 000 peluang pekerjaan adalah antara tawaran yang dilihat mampu mengurangkan tekanan hidup rakyat Terengganu yang rata-ratanya berpendapatan rendah.

Namun satu persoalan yang bermain di minda sesetengah rakyat; mampukah PAS merealisasikan manifestonya? Mampukah PAS mentadbir negeri ini dengan kepakaran mereka yang ada?

Sejarah 1999 menjadi bukti 

Soalan ini sepatutnya sudah terjawab dengan melihat sejarah bagaimana PAS Terengganu menunaikan janji pilihan raya sewaktu memerintah 1999-2004 dahulu. PAS dengan berani mengisytiharkan bahawa hari ini menang, esok tol dihapuskan. Dan ianya benar-benar dihapuskan!

Bukan itu sahaja. Umno meninggalkan kerajaan negeri dengan beban hutang mencecah RM 1 billion. Namun PAS bukan sahaja berjaya menyelesaikan segala hutang tersebut, tetapi berjaya juga menyelamatkan beberapa buah GLC negeri yang hampir gulung tikar seperti TDM. Atas jasa PAS itu, TDM hari ini kembali menjadi salah satu GLC yang banyak menyumbang kepada perolehan negeri.

PITAS tunjang manifesto 

Untuk PRU14 ini, PAS jauh lebih bersedia daripada itu. Mungkin ramai yang tidak mengetahui, PAS memiliki pasukan pakar anak jati Negeri Terengganu yang telah membangunkan sebuah model polisi dan pentadbiran negeri jangka masa panjang yang dinamakan sebagai Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS). Konsepnya menyamai dokumen WINS2051 yang dilancarkan akhir tahun lepas di peringkat PAS Pusat.

PITAS mensasarkan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera menjelang tahun 2030. Untuk jangka masa pendek iaitu sepenggal pemerintahan (4-5 tahun), pasukan penyelidik PITAS telah merangka pelan penjanaan pendapatan kerajaan negeri bagi menjayakan kesemua Manifesto PAS selain meneroka manfaat-manfaat baharu yang boleh ditawarkan untuk rakyat. Percaya atau tidak, kerajaan negeri sangat berpotensi untuk menjana pendapatan baharu negeri sehingga mencecah RM 1 billion!

Antara sumber besar Terengganu yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh BN hari ini adalah sektor pelancongan, pertanian dan hasil galian selain petroleum. Secara faktanya, Terengganu sangat kaya dengan berbagai hasil bumi dan tarikan alam, sesuai dengan kata-kata “Negeri Cantik Budaya Menarik”, malahan jauh lebih baik dari kebanyakan negeri-negeri lain di Malaysia. Malangnya gagal dimanfaatkan secara optimum bagi menjana pendapatan negeri untuk kesenangan rakyat.

Administratif berdedikasi, tapi politikus korupsi 

Isunya mungkin sama di peringkat Kerajaan Pusat. Di peringkat Administratif, Kerajaan Negeri memiliki pasukan pentadbir yang sangat cekap dan berdedikasi. Malangnya sikap ahli politik yang berada pada badan eksekutif mengganggu profesionaliti pegawai awam. Politikus ini kebanyakannya hanya mentadbir negeri untuk memenuhkan kantung peribadi dan kroni, sehingga membakulsampahkan visi dan idea bernas pegawai kerajaan yang komited dengan tugas.

PAS Terengganu menghargai golongan Administratif (TCS) yang benar-benar mahu melihat negeri tercinta ini maju dan membangun. Sekiranya diberi peluang mentadbir, PAS tidak sesekali akan memecat kakitangan kerajaan negeri yang ada. Bahkan mereka akan diberi peluang untuk mencurah idea, komentar dan partisipasi dalam merealisasikan Wawasan PITAS. Tidak kiralah mereka penyokong PAS atau tidak, asalkan mereka bersikap profesional dalam tugasan yang tidak mencampur aduk pengaruh politik dalam pentadbiran.

PITAS milik rakyat Terengganu 

PITAS merupakan dokumen strategik pembangunan negeri. Justeru ia tidak sesuai dipamerkan secara umum kepada orang awam. Walau bagaimanapun, PAS terbuka untuk berkongsi maklumat lanjut mengenai PITAS kepada golongan profesional, korporat, mahupun kumpulan kakitangan awam dalam diskusi yang khusus.

PAS juga bersikap terbuka dalam menerima cadangan dan komentar berhubung PITAS, dan akan terus memperkasakannya dari semasa ke semasa berdasarkan input yang diterima. Sekiranya berminat, hubungi sahaja mana-mana pimpinan PAS peringkat negeri dan ianya akan diatur.

Ke Arah Terengganu Maju, Berkat Dan Sejahtera

5 Syaaban 1439
21 April 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 21/4/2018