PH masih gagal tubuh Exco Kerajaan Negeri 

TIDAK dinafikan bahawa kedudukan 18 kerusi kerajaan yang dipimpin oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir dari blok Pakatan Harapan (PH) berhadapan dengan situasi getir memandangkan sehingga kini beliau masih gagal mengemukakan senarai barisan Exco Kerajaan Negeri.

Advertisement

Situasi tersebut bukan sahaja menimbulkan persoalan apakah beliau menghadapi masalah pemilihan nama-nama pemegang jawatan portfolio berkenaan malah ia juga merupakan cabaran yang menuntut kebijaksanaannya membuat keputusan.

Dato’ Seri Mukhriz perlu akur bahawa blok PH hanya berjaya memperolehi 35.8 peratus undi daripada seluruh rakyat Kedah. Manakala pihak pembangkang pula mencapai 62.7 peratus. Sementara itu PAS berjaya mendapat 33.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi seramai 951,000 orang.

Umum mengetahui bahawa PAS berjaya memenangi 15 kerusi dan 3 kerusi dimiliki oleh BN. Namun, disebabkan amalan sistem pilihan raya “first past the post” yang diamalkan di Malaysia, maka PAS akur dengan kedudukan hari ini. Dengan kata lain, kedudukan kerajaan negeri tidak seimbang di antara sokongan rakyat dengan jumlah kerusi yang diperolehi.

Walau bagaimanapun, menerusi amalan demokrasi, PAS akan sentiasa meneliti perjalanan kerajaan dan terus komited mendekati serta mengangkat suara rakyat secara berterusan.

DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Kedah – HARAKAHDAILY 18/5/2018