Geoeskatologi (5): Hejaz

HEJAZ merupakan wilayah lama yang sangat penting dalam peradaban Arab. Kawasannya meliputi Barat Semenanjung Arab yang kini sebahagian besarnya berada di bawah penguasaan Arab Saudi selain Najd. Terdapat beberapa negeri penting di Hejaz sepeti Mekah, Madinah dan Tabuk. Sebahagian kecil Hejaz kini berada di bawah penguasaan Jordan di Utara dan Yaman di Selatan.

Advertisement

Pada zaman Uthmaniyyah, Hejaz dipimpin oleh seorang Gabenor berketurunan Nabi bernama Syarif Husain al-Hasyimi. Malangnya atas hasutan British melalui siri surat Husain-McMahon, beliau telah melancarkan serangan Revolusi Arab Agung 1916 ke atas Uthmaniyyah yang berpusat di Turki atas semangant Nasionalisme Arab.

Hasilnya Hejaz di’merdekakan’ tetapi setelah itu berada di bawah naungan British. Dalam waktu yang sama, British berpakat dengan Kabilah Bani Saud melalui T.E Lawrence untuk melancarkan pemberontakan terhadap Uthmaniyyah di Najd. Selepas itu Bani Saud memerangi Hejaz menyebabkan keluarga Syariff Husain lari dan menjadi pemerintah Jordan. Tidak berapa lama kemudian British mengizinkan Kerajaan Arab Saudi dibentuk dengan gabungan dua wilayah ini.

Antara tanda akhir zaman adalah keluar cahaya dari wilayah Hejaz. Sabda Rasulullah S.A.W:

لا تقومُ الساعةُ حتَّى تخرجَ نارٌ مِنْ أرضِ الحجازِ ، تضئُ أعناقَ الإبلِ ببُصْرَى

“Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah keluar api dari tanah Hejaz yang menerangi tengkuk unta di Busra.”

[HR Bukhari dan Muslim]

Sejarawan berpendapat bahawa peristiwa tersebut telah berlaku pada tahun 654H bersamaan 1256M. Ia ekoran letusan gunung berapi yang terletak di daerah Harrat Rahah. Aktivitinya berlanjutan sehingga 52 hari sehingga membentuk sungai api mencecah jarak 23 km. Kejadian tersebut menerangi Hejaz sehingga dikatakan wanita-wanita di Madinah boleh menenun kain dalam cahayanya. Itulah aktiviti terakhir gunung berapi tersebut.

Hejaz bakal menjadi antara benteng iman umat akhir zaman. Sabda Rasulullah S.A.W:

إنَّ الدِّينَ ليأرِزُ إلى الحجازِ كما تأرِزُ الحيَّةُ إلى جُحْرِها وليُعقلنَّ الدِّينُ منَ الحجازِ معقِلَ الأرويَّةِ من رأسِ الجبلِ إنَّ الدِّينَ بدأَ غريبًا ويرجِعُ غريبًا فطوبَى للغرباءِ الَّذينَ يُصلِحونَ ما أفسدَ النَّاسُ مِن بعدي مِن سُنَّتي

“Sesungguhnya agama akan bertahan di Hejaz sebagaimana ular yang bertahan di lubangnya. Agama akan berkubu di Hijaz sebagaimana kambing gurun berkubu di puncak bukit. Sesungguhnya agama ini bermula asing dan akan kembali asing maka bergembiralah mereka yang terasing, iaitu mereka yang melakukan Islah tehadap kefasadan manusia selepas aku, daripada Sunnahku.”

[HR Tirmizi]

Hejaz yang berada di sebelah Barat Semenanjung Arab dibezakan dengan Timur dengan iman. Sabda Rasulullah S.A.W:

غِلَظُ القلوبِ ، والجفاءُ ، في المشرقِ. والإيمانُ في أهلِ الحجازِ

“Telah keras dan kering hati di sebelah Timur, dan iman itu berada pada penduduk Hejaz.”

[HR Muslim]

Sebagaimana Hadis pada Siri 2 (Madinah Munawwarah), Hejaz bakal ditinggalkan di akhir zaman nanti oleh mereka yang mengejar kemewahan mengikut telunjuk Dajjal. Hanya mereka yang mampu menghadapi kesusahan sahaja berjaya bertahan. Menunjukkan tidak semestinya yang memilih untuk berlindung di Hejaz terutama Makkah dan Madinah akan selamat. Ia adalah soal iman. Sabda Rasulullah S.A.W:

يأتي على النَّاسِ زمانٌ يخرُجون إلى الأريافِ فيُصيبون منها مَطعمًا ومَلبسًا ومَركبًا أو قال مراكبَ فيكتُبون إلى أهليهم هلُمَّ إلينا فإنَّكم بأرضِ حجازٍ جَدوبةٍ والمدينةُ خيرٌ لهم لو كانوا يعلمون

“Akan tiba satu zaman keluar merantau segerombolan penduduk dari Hejaz bagi mendapatkan makanan, pakaian dan kenderaan. Lalu mereka menulis kepada keluarga di kampung mengajak untuk keluar juga kepada mereka. Pada waktu itu Hejaz dilanda kemarau. Sedangkan Madinah adalah negeri terbaik bagi mereka jika mereka mengetahui.”

[HR Al-Munziri]

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
5 Ramadan 1439
21 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 21/5/2018