Nelayan asing ceroboh perairan T’ganu ditangani

ISU pencerobohan nelayan asing dan pencerobohan bot pukat tunda di zon tangkapan nelayan pantai antara yang saya bangkitkan dalam mesyuarat bersama YB Menteri Pertanian pagi tadi.

Advertisement

Masalah lapuk yang telah berlarutan sejak sekian lama mesti dicari puncanya sehingga ke lubuk mana sekalipun. Kita tak mahu lagi dengar alasan.

Bot nelayan asing dan bot pukat tunda itu besar saiznya. Mereka bukannya guna bot enjin sangkut. Saya yakin bot itu tak ada kuasa ghaib yang boleh mengaburi pandangan penguatkuasa undang-undang. Kalau kata mereka beroperasi waktu malam, takkan kapal APMM atau Polis Marin tak ada lampu. Nelayan kita sampai boleh tangkap gambar bot yang menceroboh.

Punca mesti dicari. Satu task force yang menggabungkan beberapa Kementerian, Jabatan dan Agensi mesti dibentuk. Kalau tak selesai juga, mungkin penubuhan satu Suruhanjaya Diraja boleh difikirkan. Nelayan kita sudah terlalu letih dan penat dengan isu ini. Saya dah tak sanggup melihat mereka menitis air mata di depan kita bila meluahkan perasaan menyentuh isu ini. Dalam Sidang Dewan Undangan Negeri yang lepas, saya telah memberikan janji komitmen untuk membincangkan isu ini secara serius dengan pihak Kerajaan Pusat.

YB DR AZMAN IBRAHIM 
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu.
12 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 12/7/2018