Berimankah kita? (Siri 1 & 2)

SEORANG teman yang dikategorikan dalam kalangan intelektual bertanya padaku (Dr Yusuf al-Qardhawi): Bolehkah seorang yang waras berbeza ucapan dan perbuatannya? Jawabku: Pastinya tidak, selagi mana dia sedar dengan ucapannya dan memaksudkannya. Apa tujuan soalan ini ditanyakan?

Advertisement

Soalan ini hanya pemula kepada soalan berikutnya yang bermain di fikiranku, sedaya upaya aku mencari jawapannya. Dan aku berharap, aku mampu mendapat jawapan yang tuntas darimu.

[DQ: Dr Qardhawi, HA : Hamba Allah]

DQ:     Apa soalanmu?

HA:     Bukankah al-Quran itu Kalam Allah?

DQ:     Bahkan

HA:     Bukankah apa yang berlaku di dunia ini dengan izin Allah?

DQ:     Bahkan

HA:     Lalu mengapa realiti hari ini bertembung dengan kehendak Allah yang tercatat di dalam al-Quran?

DQ:     Mustahil berlaku begitu, jelaskan padaku maksud ucapanmu.

HA:     Kita membaca di dalam al-Quran Firman Allah Surah ar-Rum ayat 47:

وَكَانَ حَقًّا عَلَيْنَا نَصْرُ الْمُؤْمِنِينَ

Tetapi situasi sebenar orang beriman hina dan lemah. dan Allah menyebut dalam Surah al-Munafiqun ayat 8, tetapi realiti sebenar orang beriman hina dan diperhambakan.

Dan kita membaca Firman-Nya dalam Surah an-Nisa’ ayat 141, tetapi di sekeliling kita orang kafir memperlakukan orang beriman dengan 1001 jalan.

Begitu juga dengan Surah al-Hajj ayat 38, Muhammad 11, al-Anfal 19 dan beberapa ayat lain. Sedangkan kita dapati kekuatan, ketuanan dan kemegahan kini dimiliki si Kuffar dan penentang agama, manakala lemah, terkebelakang dan kehinaan menjadi nasib orang beriman! Apa maknanya semua ini?

DQ:     Sesungguhnya penerangan terhadap semua ayat ini sangat jelas. Pertolongan, kemenangan, ketuanan dan pertolongan Tuhan memang hak milik orang beriman, bukan untuk mereka yang mendakwa beriman, yang dipanggil dengan gelaran Ahli Islam (Muslim). Tumpuan adalah pada apa yang dinamakan, bukannya pada nama, begitu juga pengajaran pada hakikat sebenar bukan pada dakwa-dakwi semata.

HA:     Kalau begitu, ini bermakna kita sudah tidak ada iman?

DQ:     Seandainya iman itu dengan melafazkan dua kalimah Syahadah, dan menjaga sebahagian Syiar Islam, kita tentulah beriman. Namun, seandainya iman bererti merealisasi segala sifat-sifat yang disebutkan di dalam al-Quran, ia menjadikan tahap keimanan kita berada pada tahap yang berbeza.

(Siri dua)

Sesungguhnya orang beriman yang dijanjikan akan kemenangan dan pertolongan Allah, melalui ayat-ayat-Nya, mempunyai ciri-ciri tersendiri yang melengkapi aspek aqidah, amalan dan akhlak, lalu menjadikan satu kemestian untuk Allah memuliakan jalan dakwah ini dan mendukungnya. Namun begitu, bukanlah suatu bentuk keinsafan apabila semata-mata menyebutkan janji-janji Allah di dalam al-Quran, tetapi mengambil tafsiran selain al-Quran.

HA:     Baiklah, demi Allah, jelaskanlah padaku siapakah orang beriman yang sebenar menurut al-Quran?

DQ:     Dengarkanlah ayat ini yang jelas daripada Kitab Allah (Surah al-Anfal ayat 2-4), Surah al-Mukminun ayat 2, Surah at-Taubah ayat 71, Surah al-Hujurat ayat 10, 15 dan Surah an-Nur ayat 51.

Perhalusi ayat-ayat ini dan beberapa ayat yang lain, kemudian lihat pula kepada kebanyakan umat Islam di seluruh dunia, apa yang kita nampak? Pastinya apa yang kita akan lihat adalah sejumlah besar umat yang mengabaikan kefardhuan solat dan mengikut telunjuk nafsu mereka. Jiwa mereka disibukkan daripada mengingati Allah, langsung terputus hubungan dengan Allah (Surah al-Hasyru ayat 14) dan sebilangan mereka bersembunyi untuk melakukan kebaikan. Lebih parah apabila kemungkaran dikatakan kebaikan dan sebaliknya, memunculkan golongan yang memperjuangkan kemungkaran dan menegah makruf.

Cuba kita merenung sekali lagi terhadap jutaan umat Islam ini, nescaya kita akan dapati sebahagian besar mereka dirosakkan oleh puak pelampau agama, ada sebahagian yang dirosakkan oleh parti yang menyesatkan, ada pula yang menjadi rosak disebabkan oleh politik tanpa batasan, begitu juga yang rosak akibat serangan pemikiran, dan ramai lagi yang dirosakkan oleh Komunisme dan gerakan Kristianisasi. Dan jutaan lagi yang hanyut menyembah berhala hiburan seakan hidup selamanya.

HA:     Amat tepat apa yang dikau katakan, akan tetapi, bukankah kita lebih hampir dengan keimanan yang sebenar berbanding Yahudi (baca Israel)? Mengapa kita kalah? Mengapa mereka berjaya mengalahkan kita?

DQ:     Mereka (Israel) berjaya mengalahkan kita kerana mengikut Sunnatullah dalam mencapai kemenangan. Mengimani akan Sunnatullah ini merupakan satu juzuk penting dalam iman. Malangnya, umat Islam amat culas dalam aspek ini, dan mereka menguasainya. Mereka bingkas bangkit dan kita masih diulit mimpi. Mereka terkehadapan dalam penguasaan ilmu dan kita terus dalam kejahilan. Mereka memacu ke hadapan dan kita terus ketinggalan. Mereka bersiap siaga membuat perubahan, kita pula masih culas melaksanakan kewajipan. Mereka bermandi peluh dan darah demi kejayaan, kita pula tetap bermalasan untuk memerah otak. Lalu, kumpulan manakah lebih layak untuk menempa kejayaan?

Sesungguhnya Sunnatullah dalam kemenangan dan kejatuhan tidak akan menzalimi sesiapa dan berpihak yang tidak adil. Barangsiapa yang memenuhi kriteria untuk menang, pastinya ia layak untuk mendapatkannya sekalipun Yahudi. Begitu juga kumpulan atau individu yang memenuhi aspek kekalahan, maka layaklah ia ditewaskan sekalipun membawa imej Islam.

Bagaimana kalian melihat umat Islam tatkala dalam Peperangan Uhud? Mereka membayar ‘kesilapan’ dengan harga yang mengorbankan 70 para Syuhada’. Bersama mereka ada Hamzah Abdul Mutallib, bapa saudara Rasulullah S.A.W, adanya Mus’ab bin Umair, Sa’ad bin Rabi’, Anas bin Nadhir dan beberapa pahlawan ulung lain. Jeneral perangnya adalah Baginda Nabi S.A.W yang bertempur dengan musuh yang menyembah berhala.

Al-Quran merekodkan peristiwa penting ini supaya umat Islam memahami Sunnatullah kemenangan:

“(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam Peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam Peperangan Badar), kamu berkata: “Dari mana datangnya (kemalangan) ini? “Katakanlah (wahai Muhammad): “Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)”. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(ali-‘Imran: 165)

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Ketua Pemuda PAS Kawasan Bakri

Terjemahan dan olahan:

(كتاب من اجل صحوة راشدة – تجدد الدين و تنهض بالدنيا – د. يويف القرضاوي)

HARAKAHDAILY 17/7/2018