Kempen guna jentera kerajaan, tidak beretika

nasrudin

TINDAKAN calon PH dalam PRK Port Dickson yang dilihat secara wewenangnya memanipulasi majlis dan jentera kerajaan untuk berkempen telah dikecam oleh banyak pihak.

Advertisement

Kelihatan calon tersebut bukan sahaja hadir di majlis penganugerahan pingat kepada pesara tentera yang berlangsung di Muzium Tentera, malah menaiki kenderaan rasmi menteri (WC1960E) semalam di Port Dickson.

Beliau lupa dengan kenyataan beliau sendiri dalam sidang media bertarikh 21 September 2018 yang lalu sebagaimana yang telah disiarkan oleh Astro Awani.

Antara ungkapannya, “Saya mahu PRK Port Dickson bebas daripada penggunaan aset dan jentera kerajaan”. “Pihak yang berkempen dan hadir untuk memberi sokongan kepada saya, perlu hadir sebagai pemimpin parti dan bukannya wakil kerajaan”

Jadi, apakah semua ini? Sandiwara politik? Tidakkah ini secara jelas membohongi dan mengkhianati apa yang telah diucapkan oleh beliau sendiri?

Saya tidak fikir bahawa ini adalah calon yang sesuai diangkat sebagai Perdana Menteri? Cakap tidak serupa bikin. Tidak hairan sekiranya calon ini menang, reformasi institusi yang sering dilaungkan akan dibakulsampahkan begitu sahaja.

Terdahulu, Menteri Pertahanan juga telah mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM500,000 untuk membaiki kuarters tentera di Port Dickson.

Kemudian, semalam Menteri Pertahanan juga telah menghadiri dan menyampaikan penganugerahan pingat kepada pesara tentera di Port Dickson.

Ternyata PH bukan sebuah parti politik yang komited dengan agenda reformasi sebaliknya mengamalkan politik “matlamat menghalalkan cara” demi mencapai cita-cita mereka.

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
24 Muharram 1440 | 4 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 4/10/2018