Perjumpaan JK tertinggi PAS, Umno lepas raya

KOTA BHARU: PAS mengesahkan selepas Hari Raya Aidilfitri akan diadakan perjumpaan jawatankuasa tertinggi antara PAS dan Umno.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jawatankuasa tertinggi antara kedua-dua parti setakat ini hanya mengadakan sekali mesyuarat.

Katanya, selepas Hari Raya akan diadakan mesyuarat jawatankuasa berkenaan bagi kali kedua.

“Kita ada dua jawatankuasa iaitu jawatankuasa tertinggi dan jawatankuasa teknikal. Jawatankuasa teknikal sudah mesyuarat dua tiga kali.

“Pada pertemuan sebelum ini dipersetujui tiga perkara iaitu mana-mana Pilihan Raya Kecil tidak akan berlaku pertembungan.

“Selain itu mempertahankan Islam dan menyusun gerak kerja bersama di peringkat parlimen,” katanya ditemui media selepas Tausiah Badar Kubra di Madinah Ramadan, malam tadi.

Program itu diadakan selepas solat tarawih. Hadir sama anggota parlimen Tumpat Dato’ Che Abdullah Mat Nawi dan Adun Bukit Panau Dato’ Abdul Fattah Mahmood.

Semalam Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa memberitahu kerjasama Umno dan PAS bakal diperkukuhkan lagi dengan bentuk lebih rasmi selepas mementerai piagam kerjasama.

Tuan Ibrahim juga berkata, kedua-dua pihak akan melihat untuk mencapai persetujuan dalam muafakat tersebut.

“Kalau melibatkan muafakat biasa itu tidak apa tanpa mendapat kelulusan Majlis Syura. Bagaimanapun muafakat politik kena lulus Majlis Syura.

“Sama seperti semasa PAS hendak menyertai BN dahulu kita bawa dalam muktamar terlebih dahulu. Sekarang bukan lagi gabungan, ia tidak lebih sebagai muafakat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/5/2019