Salur bonus Aidilfitri kepada peneroka Felda

KENYATAAN Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mengatakan sehingga kini masih belum diputuskan pemberian bonus Aidilfitri kepada peneroka menunjukkan sikap Kerajaan yang tidak prihatin terhadap nasib 11,635 peneroka Felda.

Advertisement

Alasan Kerajaan bagi memberi keutamaan kepada amaun sara hidup dan wang pendahuluan amat tidak wajar sekali. Ini kerana, pemberian bonus Aidilfitri merupakan wang ehsan daripada Kerajaan sedangkan wang sara hidup dan wang pendahuluan adalah ‘gaji bulanan’ para peneroka.

Kerajaan tidak wajar mempertikaikan hak penerimaan gaji bulanan yang sememangnya suatu prosedur bulanan.

Bonus Aidilfitri ini juga boleh dijadikan kayu ukur keprihatinan Kerajaan terhadap nasib peneroka Felda yang semakin terhimpit dengan nilai komoditi sawit yang masih lagi tidak stabil.

Malah, alasan Kerajaan berkenaan keadaan kewangan negara penghalang pemberian bonus Aidilfitri langsung tidak munasabah diguna pakai terhadap para peneroka Felda yang merupakan penyumbang utama kepada pendapatan hasil minyak sawit sehingga mencecah RM80 bilion pada tahun lalu.

Justeru, saya menggesa Kerajaan agar segera menyalurkan bonus Aidilfitri kepada peneroka dan tidak sama sekali mempertikaikan wang sara hidup dan wang pendahuluan yang merupakan komitmen berpanjangan daripada Kerajaan bukannya wang ehsan Aidilfitri.

Buktikan keprihatinan Kerajaan hari ini dalam memartabatkan nasib peneroka-peneroka Felda!

“Islam Memimpin”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu
24 Mei 2019 | 19 Ramadan 1440 – HARAKAHDAILY 24/5/2019