PAS S’wak laku keras bagai pisang goreng

REAKSI  terkejut melihat kekuatan PAS dalam melaksanakan program Hari Malaysia di Rumah Panjang 2 minggu lepas mengundang ramai pihak termasuk, parti politik, rakyat serta yang terbaru ahli akedemik. Itu membuktikan bahawa banyak maklumat tentang perkembangan PAS tidak sampai dan mungkin tersekat kerana kurang liputan media. PAS Bintulu dan PAS Sarawak telah mengubah persepsi PAS tidak diterima di rumah panjang.

Advertisement

Akhirnya, dengan kepakaran PAS dalam media baru dalam arena langit terbuka membuka mata rakyat bahawa PAS bukan hanya sekadar nama yang menyertai pilihan raya di Sarawak. PAS mampu sebenarnya menggerakkan jenteranya tanpa bantuan kewangan yang tinggi seperti parti lain kerana ia sudah sebati dengan budaya ahli PAS itu sendiri yang berkuasa bukan kerana kepentingan peribadi dan wang ringgit. Sekali gus ia adalah jaminan PAS sebuah parti yang bersih dari politik wang.

Terkini ahli PAS seluruh Sarawak berjumlah 3000 orang dengan 11 kawasan berdaftar serta terdapat cawangan masing-masing. Ini bukan perkara pelik kerana ia adalah dari kesedaran rakyat tempatan tanpa mengira bangsa dan agama. Malah gabungan agamawan lulusan luar negara dan profesional pelbagai bidang dari kalangan anak jati tempatan yang menjadi pemimpin utama PAS Sarawak kini turut menjadi parti ini terus bernafas. Jelas mereka yang merasakan PAS seperti parti lain yang lemah adalah dangkal!

Untuk rekod juga, PAS bertanding di Parlimen Batang Lupar dan Dun Beting Maro tanpa hilang deposit. Bukan mudah untuk mempertahankan jumlah undi untuk tidak hilang deposit sungguhpun PRU lepas PAS bersendirian berentap tetap tidak hilang deposit di Parlimen tersebut! Oleh yang demikian, para pemerhati politik perlu melihat kekuatan sokongan PAS yang sememangnya terbukti kukuh apabila sesebuah kerusi tersebut telah dikuasai PAS. Ini terbukti dengan Kelantan itu sendiri dan Dun Beting Maro, Sebuyau dan Samariang. Seperti yang kita maklum politik yang bersifat dinamik ini akan terus berubah. PAS silih bertukar bermuafakat bersama pelbagai parti termasuk DAP dan PKR  itu sendiri yang maklum dengan kekuatan masing-masing. Malah di dalam kerjasama bersama Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat juga 2 parti politik tersebut tidak banyak menyumbang kepada kekuatan PAS Sarawak kerana PAS Sarawak bertanding di kerusi majoriti Melayu yang tidak mungkin boleh didatangi oleh DAP dan PKR sebaliknya PAS Sarawak banyak membantu mereka untuk masuk ke kampung Melayu dan Islam di Sarawak. DAP dan PKR sebenarnya menumpang kekuatan PAS yang kuat di peringkat Pusat pada ketika itu malah PAS adalah parti tertua dan paling lama memegang sebuah negeri bersama dan tanpa kerjasama politik sebagai kerajaan pembangkang sungguhpun dianak tirikan.

Punca utama PAS diterima di kerusi tersebut di Sarawak adalah dari kelemahan penyandang kerusi itu sendiri atau rakyat sudah muak dengan sikap wakil rakyat yang tidak menjaga kebajikan rakyatnya dan menghilang sepanjang penggal berkuasa. Lebih memberansangkan PAS sudah mampu menggerakan sayap non muslimnya sendiri melalui Dewan Himpunan Pendukong PAS (DHPP) dan pernah bertanding di Parlimen Sibuti yang majoriti pengundinya adalah bukan Islam tanpa hilang deposit.

PAS mungkin dilihat tidak relevan buat masa sekarang kerana tiada rakan politik di Sarawak, namun, kekuatan Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan Umno bakal merubah landskap politik negara. Parti politik kecil seperti GPS yang hanya ada di Sarawak termasuk parti yang berada di dalam PH juga akan mengubah pendirian sekali lagi jika kerajaan pusat bertukar penerajunya selepas ini. Yang pasti apa yang kita mahu PH kekal sebagai pembangkang di Sarawak! Maka seperti mana PAS yang kini bagai pisang goreng panas yang laku keras, mengundang kebimbangan kepada PH di Sarawak dan GPS yang dalam kekeliruan untuk bersama dengan siapa.

ACHAU MUJAH
Ketua Dewan Himpunan Pendukong(DHPP) PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 27/9/2019