Tumpu kawasan internet kurang memuaskan

PIHAK berkuasa baru-baru ini memberikan publisiti yang keterlaluan mengenai cubaan melancarkan 5G pada Oktober ini, sedangkan sebahagian besar pengguna masih bergelut dengan kelajuan yang perlahan dan masalah sambungan yang tidak menentu. Justeru, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa agar menangani masalah yang wujud di kawasan-kawasan yang menghadapi masalah Internet Jalur Lebar, di mana tidak terdapat kabel optik gentian, sementara isyarat wayarles jalur lebar adalah lemah dan tidak boleh diharap.

Advertisement

MohideenDi bawah National Fiberisation and Connectivity Plan, kawasan perumahan yang terpilih telah disediakan dengan kabel optik gentian. Bagaimanapun, dalam lingkungan kawasan perumahan  yang mempunyai kabel tersebut, terdapat banyak bangunan tidak disambungkan dengan Internet Jalur Lebar atas alasan yang cuma diketahui oleh pihak yang mengendalinya iaitu Telecom Malaysia (TM).

Bangunan-bangunan ini dihubungkan dengan kabel telefon yang sudah usang. Oleh itu,  kebanyakannya hanya mampu menerima isyarat dengan frekuensi rendah kira-kira 4mbp sahaja. Malah 8 mbps mungkin menimbulkan masalah. Apabila aduan dikemukakan kepada TM, mereka hanya menghantar juruteknik untuk melihat masalah yang ada dan akhirnya mendakwa tiada masalah di pihak mereka. Ini hanya melambatkan jalan untuk menyelesaikannya dan cuma membuang masa.

TM sepatutnya menghantar pegawai-pegawainya yang cekap dengan kepakaran untuk menyelidik situasi yang ada di setiap kawasan kes satu persatu dan menyarankan penambahbaikan  yang perlu dan menyelesaikan masalah buat selamanya.

Syarikat telco lain seperti Maxis dan Celcom tidak mempunyai kabel optik gentiannya sendiri tetapi bergantung kepada kabel optik gentian TM untuk menyediakan prekhidmatan jalur lebar masing-masing. Timedotcom menyediakan kabelnya sendiri tetapi hanya memberi perkhidmatan kepada kondominium dan pangsapuri berikutan permintaan yang tinggi untuknya. Oleh itu kebanyakan pengguna cuma mengharap belas ehsan monopoli yang dinikmati oleh TM.

Internet Jalur Lebar tidak seharusnya dianggap keistimewaan yang hanya layak dinikmati oleh segelintir pengguna tetapi lebih merupakan utiliti yang perlu, sama seperti bekalan air dan elektrik  yang menjadi keperluan harian. Oleh itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Singh Deo, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia perlu  memastikan isu-isu terbabit ditangani oleh pihak TM, daripada beria-ria untuk memperkenalkan 5G dan 500 bps ke kawasan berimpak tinggi tidak lama lagi.

Berhubung 5G, adakah Malaysia berada dalam keadaan yang sesuai untuk mengambil teknologi ini? Generasi ke 5 teknologi selular, atau ringkasnya 5G menjadi satu loncatan besar dalam aspek kelajuan peralatan wayarles. Teknologi ini akan menaungi 3G, 4G dan 5G. Teknologi ini direkacipta untuk menyokong ‘Internet of Things’ di mana semua peralatan elektronik saling berhubungan. Bagi mencapai kelajuan ini, penggunaan 5G memerlukan teknologi dan prasarana baharu. Akan terdapat sejumlah besar antena di bawah setiap stesen pangkalan untuk berkhidmat kepada pengguna. Tiang, lampu trafik, perabot di jalan dan bangunan akan menjadi sasaran untuk antena.

Dengan adanya 5G akan timbul isu-isu baharu membabitkan keselamatan, jaminan, liabiliti, kitaran jangka hayat produk, aduan, dan pemilikan serta penggunaan. Standard keselamatan baharu perlu dilaksanakan bagi produk dan sistem itu sendiri.

Sewaktu melakukan tinjauan pasaran, kakitangan CAP menemui sesetengah produk elektrik dan elektronik menggunakan kuasa 240 volt tanpa sijil pengesahan. Kami juga mendapati produk elektrik baharu di pasaran yang tidak dapat diklasifikasi di bawah mana-mana standard keselamatan mandatori sedia ada di bawah undang-undang. Suruhanjaya Tenaga tidak dapat memberikan penjelasan yang munasabah berhubung perkara ini. Jika penggubal undang-undang tidak dapat menjamin keselamatan produk dalam situasi semasa, bagaimanakah mereka boleh berharap dapat melakukan  lebih baik dengan teknologi 5G, yang memerlukan kawalan dan penguatkuasaan yang lebih tegas?

Dengan adanya 5G, kita akan hidup dalam ruang elektromagnetik frekuensi yang luas. Apakah ancaman kesihatan yang bakal kita hadapi? Sudahkah kajian mengenainya dilakukan?

Melihat gambaran secara keseluruhan, kita masih ketinggalan dalam banyak keperluan bagi memastikan persekitaran yang selamat dalam melaksanakan 5G. Sehubungan itu, CAP menggesa pihak berkuasa supaya mengutamakan keperluan pengguna dengan mengambil tindakan seperti berikut:

• Jangan terlibat dalam projek besar seperti 5G dan terjerumus ke dalam perkara yang tidak diketahui;

• Mempertingkatkan prasarana dan perkhidmatan semasa bagi mereka yang berada dalam kawasan yang tidak menerima liputan dengan sempurna dan kawasan yang tidak menerima perkhidmatan tersebut di mana kelajuan jalur lebar di bawah 20Mbps;

• Meningkatkan kepakaran teknikal untuk menangani isu semasa berhubung fasiliti Intenet;

• Memaju atau mengamalkan standard keselamatan bagi teknologi baharu yang berkembang;

• Meningkatkan pemantauan pasaran ke atas produk elektrik dan elektronik selain memastikan pengeluar, pengimport, peruncit dan pengiklan yang tidak mematuhi undang-undang dikenakan hukuman yang setimpal;

• Menambahbaik isu-isu baharu berhubung keselamatan, liabiliti, jangka hayat produk, aduan, dan pemilikan serta penggunaan 5G.

• Menjalankan kajian mengenai gelombang elektromagnetik yang dijana oleh 5G, bresama negara lain yang menggunakan teknologi sama, bagi mengenal pasti apakah ancaman kesihatan yang ada dan kemudian menghebahkannya kepada orang awam. – HARAKAHDAILY 2/10/2019

Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.