Tahniah Tanjung Piai, luaskan muafakat

GELOMBANG Muafakat Nasional terbukti amat positif diterima oleh rakyat Malaysia yang majmuk atas hasrat inginkan hidup penuh harmoni dan aman damai. Tanjung Piai sekali gus bererti rakyat juga menolak politik ekstrem yang membangkitkan sumbu kebencian dan  api sentimen perkauman dibawa PH.

Baik pada parti yang bertanding, mahupun penduduk tempatan, PRK P.165 Tanjung Piai telah memberi pengajaran berguna betapa terhadap isi hati kaum Melayu, Cina dan India mahu hidup bersama dan bukannya berpecah. Ianya amaran paling tegas buat PH yang tentunya bakal menempuh ambang bahaya PRU15.

Rakyat juga sedang memberi satu mesej jelas menolak pendekatan politik fitnah, haru-biru, menipu dan memungkiri janji, serta politik dendam lagi tidak matang tajaan PH. Pun begitu, ia bukan keselesaan buat BN dan GS yang perlu terus meyakinkan rakyat dengan formula telah digagaskan.

Kerjasama dan setiakawan serta memastikan berlakunya satu lawan satu pada PRU15 nanti adalah strategi termudah untuk menempa kejayaan, seterusnya memastikan pembinaan kembali Malaysia yang lebih sejahtera kelak. Martabat rakyat mesti diletakkan sewajarnya dengan kepentingan negara dijamin sebaiknya.

Kemenangan diraih ini perlu dijadikan sebagai titik untuk kita melangkah lebih gagah dan terancang tanpa membawa sikap-sikap yang boleh menghilangkan kepercayaan rakyat. Kami berbangga membuktikan kepada PH betapa PAS tidak menggadai prinsip sebagaimana dituduh, tetapi memimpin setiakawan.

Tahniah MCA-BN dan juga calon Dato’ Seri Dr Wee Jeck Seng serta seluruh petugas Muafakat Nasional atas penyatuan yang telah dizahirkan hingga rempuhan besar PH berjaya dihadapi. Kami menyeru semua pihak untuk berubah dan akur untuk berpolitik dalam ruang lingkup matang dan sejahtera sebagaimana pengajaran diberikan pengundi Tanjung Piai.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”

IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 16/11/2019

Advertisement