Lantikan AJP: Kembalikan demokrasi kepada PELADANG

STRAW yang lurus dilihat bengkok kerana air dalam gelas melaksanakan hukum membias.

ASTRO di rumah akan memberi notis ‘service currently not available’ kerana air hujan atau air dalam udara membias pancaran gelombang dari satelit ke piring ASTRO.

Biasan air itulah masalahnya. Pancaran gelombang dari satelit, piring ASTRO, straw dan gelas tidak ada cacat celanya.

Saya fikir, isu direct nego projek RM1.4 bilion kepada NAFAS itu tidak akan panas jika tidak ada faktor pembias di peringkat AJP NAFAS, PPN dan PPK.

Lantikan majoriti AJP dari kalangan pimpinan dan aktivis parti PH melalui kuota Menteri secara kuku besi, menggantikan pemilihan secara demokrasi sebelumnya adalah pembias dalam kes NAFAS. (Faktor batal tender kita bincang kemudian).

Gara-gara pelantikan secara kuku besi itu,  orang ramai melihat direct nego itu akan membias, bengkok dan memunculkan notis ‘service currently not available’. Biasan itu seolah-olah terbukti sahih dengan isu sewa hotel di Tanjung Piai.

Kata orang ‘Baru berapa hari dapat kuasa sudah pandai main kona-kona, bayangkan kalau dibiar berlama-lama’.

Apakah motif sebenar lantikan politik begitu ramai di semua peringkat?

Jika diandaikan yang lama itu dituduh ada kepentingan diri atau kumpulan, apa bezanya dengan yang baru? Jika diandaikan yang lama itu tidak pandai mengurus, berapa kerugian yang dicatatkan setakat ini? Kalau menyeleweng, kenapa tidak diambil tindakan di mahkamah?

Jika dikatakan yang baru itu bijak pandai, kenapa sebuah GLC di bawah pengurusan salah seorang daripada mereka pada tahun 2008-2012 mensusutkan capex syarikat daripada  RM13 juta tinggal RM5 juta tanpa sebarang hasil yang sepadan? Yang nampak jelas kereta Perdana syarikat bertukar menjadi Harrier saja.

Ada juga watak yang terkenal seluruh dunia dengan sifat meruntuh daripada membina. Tidak ada apa-apa pencapaian menyerlah yang boleh direkodkan oleh sejarah sepanjang perkhidmatannya sebagai pentadbir negeri. Kalau ada sila kemukakan, saya dan orang lain juga mahu tahu.

Jika diandaikan yang lama itu orang politik BN dan dimusuhi atas sebab-sebab politik, tetapi mereka adalah ahli peladang yang dipilih oleh ahli-ahli peladang dalam Mesyuarat Agung Tahunan secara sah. Sebab-sebab politik tidak patut ada dalam pertubuhan seperti PPK, PPN dan NAFAS. Kalaupun ada sebelumnya dan ia dirasakan tidak baik, janganlah diulangi PH pula.

Mereka (melalui pemilihan) boleh diturunkan oleh ahli-ahli PELADANG pada pemilihan berikutnya jika tidak berupaya mendatangkan kebaikan kepada pertubuhan.

Bukankah lantikan kuota Menteri juga adalah orang-orang politik PH tanpa rekod cemerlang dalam bidang berkaitan, jadi apa bezanya dasar baru dalam era Malaysia Baru ini?

Jauh bezanya demokrasi pilihan orang ramai dengan lantikan Menteri secara paksa menggunakan kuasa politik.

Siapa yang boleh turunkan seseorang atau segerombolan  AJP lantikan Menteri jika dia atau mereka semua tiada upaya melaksanakan tugas sebagai AJP, tetapi bijak mengipas dan membohongi Menteri, atau Menteri bergantung kepadanya untuk kekal jawatan dalam parti dan kerajaan, atau dia kawan baik Menteri, atau sebagai tanda terima kasih atas jasanya kepada Menteri, atau dia menyimpan ‘rahsia sulit’ Menteri atau dia menjadi banker sang Menteri?

Atau, atau, atau… Boleh jadi bermacam-macam watak lagi yang telah membinasakan tamadun manusia sebelum kita.

Kepada siapa mahu diharapkan fungsi semak dan imbang dalam AJP bila wakil parti politik mendominasi sebagai majoriti?

Keadaan lebih berbahaya bila jumlah mereka adalah lebih ramai daripada yang dipilih oleh ahli peladang dan berbaris di semua peringkat PELADANG. Dalam situasi yang tidak stabil, memaksa adalah satu bebanan yang boleh meruntuhkan.

Tidak dapat dielak lagi persepsi orang ramai bahawa pertubuhan milik peladang itu seolah-olah telah menjadi milik PAN atau PH tanpa perlu memiliki saham, hanya dikongsi sedikit dengan wakil-wakil peladang sebagai entertainment kepada pemegang saham.

Sebelum keadaan menjadi lebih parah, dan lebih banyak pendedahan dibuat tentang rekod semasa atau rekod lampau, moleklah AJP lantikan kuota Menteri berundur secara terhormat, untuk memberi ruang kepada peladang menikmati demokrasi.

Demokrasi akan menutup ruang pembias yang membengkok dan mengganggu siaran, pada sangkaan atau pada hakikat.

Jika ada yang ber cangklewang, memberabih boreh, memparasit, lebih mudah dan tidak malu mata untuk tindakan diambil segera. Politik dalaman parti pun aman tak berkocak.

Jika demokrasi tidak dikembalikan, setiap saat dan detik yang berlalu, persepsi buruklah yang akan menghambat aktiviti Pertubuhan Peladang, AJP Kuota Menteri dan Menteri sendiri. Perisai dan tongkat mengepung kuasa semakin hari semakin mahal harganya.

Sebagai pemanis kuasa, adalah munasabah jika jumlah lantikan Menteri tidak lebih daripada satu per tiga daripada jumlah AJP sebagai ‘good will’, atau pemudahcara, atau ‘golden shake hand’ atau sebagai orang hubungan pertubuhan dengan Menteri. Dapatlah dasar-dasar semasa kerajaan dan Kementerian disampaikan dan dihadam lebih cepat.

Tidaklah orang mengata mereka itu sedang merembat ghanimah atau mengampoi baja secara berjemaah. Setakat seorang dua lantikan membalas jasa, itukan adat mulia seluruh dunia. Datang seorang jadi perutusan, datang berduyun-duyun mencetus perang.

Saya rasa PELADANG dan pemegang saham juga dapat menerimanya, sebagai satu perubahan sebagai tanda kerajaan telah bertukar tangan.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Adun Jeneri
Sik, Kedah. – HARAKAHDAILY 24/11/2019

Advertisement