Penetapan polisi subsidi Haji

PAS meminta jasa baik pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji untuk menjelaskan kekeliruan yang berbangkit berhubung subsidi kos haji. Isu subsidi haji harus dibincangkan secara teliti agar dapat diselaraskan dengan baik dan menjadi polisi tetap LTH. Jika dirujuk dalam laman web LTH, ia menyatakan bahawa pelaburan CSR yang terbesar dan terpenting ialah peruntukan subsidi haji. Ia juga disifatkan sebagai usaha untuk menjaga kebajikan para jemaah haji Malaysia.

Namun begitu sejak tahun lalu, YB Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri telah memberi signal bahawa rasionalisasi subsidi haji akan dijalankan secara berperingkat berdasarkan konsep istito’ah. Hal ini bermakna kos haji tanpa subsidi dengan kadar semasa sebanyak RM22,900 dan kemungkinan akan meningkat setiap tahun perlu ditanggung oleh rakyat. Adakah keistimewaan subsidi haji akan dikurangkan secara beransur-ansur?

Atau, adakah wajar LTH menetapkan polisi subsidi haji akan diberikan kepada semua pendeposit samada mereka yang menunaikan haji melalui muassasah atau syarikat swasta yang berdaftar dengan LTH kerana sumber subsidi diperolehi daripada hasil keuntungan pelaburan dana pendeposit? Hal ini bermakna, semua warganegara Malaysia yang pertama kali menunaikan haji adalah layak menikmati subsidi haji sebanyak RM12,920 (subsidi tahun semasa).

Selain itu, PAS mengalu-alukan penyelarasan borang rayuan haji bagi kemudahan semua pihak, namun pihak LTH perlu juga menjelaskan kekeliruan yang timbul. Adakah perayu yang mampu membayar penuh kos haji tanpa subsidi diberi keutamaan berbanding perayu yang tidak mampu? PAS amat mengharapkan agar semua perayu diberikan pertimbangan yang adil dan diberi keutamaan yang wajar walaupun mereka tidak membayar sepenuhnya kos haji sebanyak RM22,900.

PAS yakin kedudukan kewangan semasa LTH mampu untuk membiayai subsidi kepada semua jemaah haji. PAS percaya LTH akan terus memudahkan dan menyempurnakan urusan jemaah bagi mendapatkan haji yang mabrur. Semoga usaha gigih LTH dalam membantu para jemaah haji diberkati oleh Allah S.W.T.

Sekian, terima kasih.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)
3 Jamadil Akhir 1441 | 28 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 28/1/2020

Advertisement