Wabak: Ujian dari Allah S.W.T

DUNIA hari ini digemparkan dengan kehadiran sejenis wabak yang dikenali sebagani Novel Coronavirus (2019-nCoV).

Novel Coronavirus adalah merujuk kepada spesis baru virus dalam famili coronavirus yang belum pernah ditemui manusia. Virus ini boleh merebak sesama haiwan dan manusia.

Jangkitan virus ini adalah sama seperti jangkitan selesema yang lain dan komplikasinya lebih teruk pada badan yang lemah imunisasi badan.

Wabak ini datangnya dari Bandar Wuhan, China. Kini, lebih 1000 kes dan 41 kematian berlaku di China. Perlahan-lahan virus ini menular hampir ke 11 buah negara iaitu Singapura, Thailand, Jepun, Korea Selatan, Vietnam, Taiwan, Nepal, Australia, Amerika Syarikat, Perancis dan Malaysia.

Sehingga kini, WHO sendiri tidak pernah menemui virus seperti ini.

Justeru, apa yang berlaku ini adalah bukti tanda keesaan dan keagungan Allah S.W.T. Hebat seperti apapun manusia, canggih bagaimanpun teknologi akhirnya terpaksa akur kepada Allah yang Maha Kuasa apabila berdepan dengan wabak ini.

Perhatikan, wabak yang sedang melanda adalah merupakan panggilan dan seruan kepada seluruh umat manusia untuk kembali kepada apa yang diajar oleh Islam.

Perkara yang paling utama dan penting untuk diambil perhatian:

(1) Taqwa

Ketundukan dan kepatuhan kepada aturan hidup yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T selaku Al-Khaliq.

Firman Allah S.W.T:

Advertisement


“ (وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰۤ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوۡا۟ لَفَتَحۡنَا عَلَیۡهِم بَرَكَـٰتࣲ مِّنَ ٱلسَّمَاۤءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذۡنَـٰهُم بِمَا كَانُوا۟ یَكۡسِبُونَ)

“Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

[Al-A’raf: 96]


Perbaiki diri, tingkat ketaqwaan, basmi kejahilan dan perangi kemungkaran.

(2) Tawakal

Kebergantungan dan pengharapan yang tinggi hanya kepada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T:


(قَالَ رَجُلَانِ مِنَ ٱلَّذِینَ یَخَافُونَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَیۡهِمَا ٱدۡخُلُوا۟ عَلَیۡهِمُ ٱلۡبَابَ فَإِذَا دَخَلۡتُمُوهُ فَإِنَّكُمۡ غَـٰلِبُونَۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَتَوَكَّلُوۤا۟ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِینَ)

“Berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: “Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman”

[Al-Ma’idah: 23]


Dalam ikhtiar atau usaha mencari punca dan merawat akibat penularan wabak ini, jangan sampai dilupa dan ditinggal tawakkal kepada Allah S.W.T.

Di saat seperti ini, umat Islam yang beriman telah diajar untuk perbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada Allah yang bersifat Al-Ghafur.

Lantaran zahirnya sebahagian besar kerosakan yang berlaku di muka bumi ini adalah angkara tangan manusia itu sendiri.

(3) DOA

Mohon pertolongan dan bantuan sebagai seorang hamba dari Rabbnya yang Maha Mencipta.

Firman Allah S.W.T:


(وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِیۤ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ إِنَّ ٱلَّذِینَ یَسۡتَكۡبِرُونَ عَنۡ عِبَادَتِی سَیَدۡخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِینَ)

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

[Ghafir: 60]


Angkatlah kedua tanganmu, pohonlah kepada Allah S.W.T yang kaya dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim agar penularan wabak merbahaya ini dapat dibendung dengan segera.

Awasi keselamatan diri, patuhi arahan yang diberi, jangan dilupa kebergantungan yang tinggi hanya pada Allah S.W.T.

Oleh: FATIMAH AZ ZAHRA’
Ahli Jawatankuasa Kerja Jabatan Dakwah PAS Pusat – HARAKAHDAILY 29/1/2020