Covid-19: PM jamin bekalan makanan mencukupi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa bekalan bahan-bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka, adalah mencukupi.

Katanya, beliau telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.

“Saya merayu kepada saudara-saudari agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini. Ini adalah tanggungjawab bersama yang mesti kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga, masyarakat dan negara kita.

Advertisement

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi wabak Covid-19.

“Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat ini dan memaklumkan perkembangan situasi wabak Covid-19 dari semasa ke semasa,” katanya dalam perutusan khas berhubung kawalan penularan COVID-19 yang disiarkan secara langsung, malam ini.

Perdana Menteri turut meminta supaya semua rakyat bersabar, tidak cemas dan sentiasa bertenang sepanjang langkah sekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan mampu menyekat penularan wabak dalam masa terdekat. – HARAKAHDAILY 16/3/2020