Ghanimah: Antara politik murahan, fitnah berterusan

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengharapkan sebarang pelantikan jawatan yang sedang dilakukan oleh pihak Kerajaan Persekutuan adalah dalam keadaan yang wajar selagimana ia termasuk dalam justifikasi ‘profesional’ dalam memenuhi merit kelayakan sesuatu bidang tugas.

Advertisement

Dalam masa yang sama, pihak yang mensensasikan isu pelantikan jawatan perlu sedar bahawa, adalah menjadikan kedangkalan sesebuah pentadbiran kerajaan yang baharu mengekalkan lantikan politik dari kerajaan yang lalu. Ia bagi memastikan dasar sesuatu kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik tanpa sebarang permasalahan dalaman.

Adalah tidak wajar jika ada pihak yang mensensasikan pelantikan jawatan yang berlaku dalam peralihan tampuk pentadbiran di peringkat Persekutuan atau negeri sebagaimana agihan ghanimah atau pun fai’.

Walaupun jika wujudnya banyak pertikaian yang berlaku dari segi merit dan kelayakan individu yang dilantik dan berlatar belakang politik mereka, namun tidaklah sampai menyamakannya dengan pembahagian harta rampasan perang.

DUPP juga menasihati setiap individu yang dilantik agar menjaga niat dan memastikan gerak kerja yang kompetensi atas jawatan yang diberikan. Jawatan merupakan amanah yang dipikul akan diperhitungkan di akhirat kelak. Jangan ada sebarang niat yang lain dengan menjadikan buruan jawatan sebagai habuan dunia.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W memberikan peringatan antara tanda-tanda kiamat menerusi sabdaan :

اِذَا اتُّخِذَ اْلفَيْءُ دُوَلاً وَ اْلاَمَانَةُ مَغْنَمًا

“Apabila harta fai’ (rampasan perang) sudah dijadikan barang rebutan, amanah dijadikan sebagai ghanimah.”

(riwayat al-Tirmizi)

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh) – HARAKAHDAILY 22/5/2020