Warga China sindiket judi ‘online’ ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan 28 individu termasuk lapan wanita yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian dalam talian di sebuah pejabat di Jalan Cheras di sini, kelmarin.

Advertisement

Kesemua 11 lelaki dan lapan wanita tempatan serta sembilan lelaki warganegara China berusia antara 20 hingga 33 tahun itu ditahan pada pukul 8 malam.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata polis merampas pelbagai peralatan antaranya empat komputer, 69 telefon bimbit, enam komputer riba serta wang tunai pelbagai mata wang bernilai RM20,000.

“Aktiviti perjudian secara dalam talian ini dipercayai telah beroperasi lebih kurang sebulan. Segala bentuk aktiviti perjudian dibuat oleh pelanggan dan ahli sindiket melalui laman sesawang khas dan sasaran sindiket ini adalah pelanggan di negara China,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata kesemua suspek warga tempatan direman selama dua hari manakala warga China itu direman selama 14 hari dari tarikh ditahan. 

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – BERNAMA