Azizulhasni, antara rocketman dan pocketman

TAHNIAH Azizulhasni Awang,  kebanggaan negeri Terengganu. Kebanggaan Malaysia.

Advertisement

Kerana laju dan pantasnya beliau meluncur  basikalnya bagaikan roket sehingga menjadi juara dunia, seluruh dunia menggelarnya ‘Orang Roket’. Tak ada kena mengena dengan Roket DAP ya!

Lebih manis daripada itu, Azizul Hasni anak Terengganu, bersaing mencabar atlit lumba basikal dari pelbagai seluruh ceruk dunia, orang Eropah yang saiz fizikalnya besar-besar belaka, walhal susuk fizikal Azizul Hasni, orang Melayu biasa bersaiz sederhana yang relatif kecil berbanding ‘gergasi’ yang menentangnya.

Kecilnya tubuhnya maka seolah ‘bersaiz poket’ – ‘pocketsized’, maka diletak di depan gelaran ‘rocketman’nya menjadi ‘pocket rocketman’.

Azizul Hasni menjadi lambang keupayaan bangsa Melayu yang secara genetiknya bukan berfizikal besar untuk bersaing di peringkat dunia. Malah beliau menjadi juara Dunia! Beliau istiqomah dalam perjuangannya. 10 tahun beliau berusaha. Tidak kecewa walau selalu dikecewakan.

Ia membuktikan bahawa kejayaan adalah milik semua yang cekal berjuang dan berusaha. Setelah mencuba sedaya upaya, selebihnya dia menyerahkan diri kepada ketentuan Allah Yang Maha Kuasa. Bukan tidak berusaha, tapi asyik beralasan itu sudah nasib dia.

Dengan pencapaian besar ini, semoga Azizul terus mencurah curah rezekinya. Pelbagai hadiah, penajaan, pengiklanan akan terus menyusul. Saya harap dia jadi nama besar dalam sukan setaraf atlit antarabangsa. Jutawan yang berbakti kepada dunia lepas ini.

Beliau tidak fikirkan wang atau memenuhkan poket dulu dalam perjuangannya. Beliau mahu harumkan nama negara. Beliau mahu buat satu pernyataan yang besar dan jelas kepada dunia, ‘bold statement’  bahawa orang Islam itu hebat, orang Melayu itu hebat dan orang Malaysia hebat.

Beliau mahu bagi mesej kepada semua orang Islam dan Melayu, jangan rasa rendah diri. Jangan sesekali tunduk. Lebih-lebih lagi kepada orang asing.

Kerana sebahagian orang Melayu, orang Islam sangat teruk masalah keyakinan dirinya. Inferiority complex yang kronik. Lebih yakin agama lain, lebih yakin pemimpin lain.

Itulah bezanya Azizul Hasni The Pocket Rocketman. Dia tak dahulukan poket. Dia buktikan dulu dia sehebat roket. Poket penuh itu datang dengan sendiri.

Yang kita khuatir adalah gejala dan sikap melulu mencari wang dulu, nak kaya cepat di kalangan kita. Usaha tak seberapa mana. Kontrak diberi gagal dilaksana, janji niaga entah ke mana.

Ada yang rasuah, menipu, pecah amanah kerana nak kumpul wang banyak-banyak. Nak kaya cepat. Semuanya mesti masuk poket. Poket kena tebal.

Nak tebalkan poket, obses dengan poket. Mahu kaya secepat roket.

Kerana itu saya hati-hati sikit dengan istilah “Pocketman”. Jika disekalikan menjadi “The Rocket Pocketman” saya khuatir maksudnya lain.

Azizul Hasni adalah The Pocket Rocketman, bukan The Rocket Pocketman seperti terpampang besar billboard oleh Kerajaan Terengganu pimpinan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Razif Abdul Rahman yang turut ada gambarnya di billboard yang sama.

Orang-orang yang memenuhkan poket sendiri sepantas roket daripada wang rakyat Terengganu bukan Azizul Hasni. Tapi rakyat tahu, mereka orang-orang Dato’ menteri!

Tahniah Azizul Hasni. Takziah pemimpin pentingkan poket sendiri – HARAKAHDAILY 17/4/2017