Jangan hanya hidupkan masjid ketika Ramadan

ISLAM yang sebenar bukan hanya duduk berzikir di masjid sehingga melepaskan tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga dan beranggapan dunia tidak penting. Anggapan ekstrim itu tidak realistik kerana hakikatnya masyarakat seperti ini juga menggunakan kereta ke mana-mana, jika benar beranggapan akhirat itu saja penting maka gunalah unta jangan kereta.

Advertisement

Bukankah dengan kemajuan hari ini menjadikan Islam lebih dipandang tinggi dan tersebar di seluruh dunia? Meletak akhirat di hati dan dunia ditangan adalah jawapan terbaik selari dengan seruan daripada Rasulullah.
 
Mengintai sejarah zaman rasulullah, usaha pertama baginda ketika hijrah adalah dengan membina masjid Quba’, ia dibina dari batang dan daunan pohon tamar yang dilihat ketika itu kukuhnya sesuatu pembinaaan masjid bukanlah terletak pada aspek fizikal tetapi roh yang memakmurkan masjid tersebut. Walaupun atap yang begitu besederhana, saf-saf sentiasa dipenuhi, tiupan suhu yang membahang tidak megganggu hati-hati yang terikat dan begitu cinta kepada masjid untuk sentiasa memakmurkannya.

Merekalah antara contoh golongan yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat daripada Tuhan mereka, mereka segera bersujud, dan bertasbih memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak sesekali bersikap takbur (Mafum surah Al-Sajadah (32); ayat 15

Apakah yang menyebabkan nabi memberi penumpuan kepada pembinaan masjid walaupun baginda dalam perjalanan ke Madinah? Setelah tibanya di Madinah pula baginda membangunkan Masjid Nabawi, tidak lain tidak bukan kerana kesedaran baginda akan kepentingan masjid untuk dijadikan bangunan pertama sebagai pusat pentadbiran.

Berbeza dengan dunia moden sekarang masjid hidup di kala Ramadan dan diterangi dengan banyak cahaya-cahaya kenderaaan mencari parkir ketika tarawih lalu makin malap apabila syawal menjelma.

Jangan hanya hidupkan masjid di bulan Ramadhan, ramai masyarakat sekarang menjadi terlalu matrealistik akibat tekanan dan desakan kehendak nafsu yang buas, mereka keluar pagi hingga malam, sudah memiliki kemewahan, pangkat, harta tetapi masih ingin mencari dan cari lagi  sampai satu tahap mereka tidak tahu apa yang diinginkan, kerana mencari dunia tiada puasnya.

Hakikatnya golongan ini akan mengalami kehidupan yang sempit di dunia iaitu resah, gelisah, tidak tenteram jiwanya dan derita di akhirat.

Masjid menjadi pusat mendekatkan manusia kepada Allah, mengeluarkan keyakinan manusia daripada yakin kepada makhluk  kepada yakin kepada Allah. Ramai yang mula sedar untuk menjengah masjid tika dijentik ujian demi ujian sehingga menyebabkan seseorang hamba itu jatuh dan hilang tempat pergantungan akhirnya dia kembali mencari Tuhan sebagai tempat bersandar .

Namun, saat senang, manusia kadang lupa kepada-Nya, sebagaimana sindiran Allah SWT dalam al-Quran:

“Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk, atau berdiri. Tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas…” (QS. Yunus [10] : 12).

Sebagai seorang hamba harus mengingat Allah dalam semua keadaan, baik saat susah maupun senang. Jika ketika senang kita mengingat Allah, maka Allah akan mengingat kita (menolong kita) saat dalam kesulitan.

“Ingatlah kepada-Ku, Aku juga akan ingat kepada kalian. Dan bersyukurlah kepada-Ku, janganlah kalian kufur.” (QS. Al Baqarah [2]:152).

“Ingatlah Allah ketika senang, maka Allah akan mengingat engkau ketika sulit.” (HR. Hakim).

Mencari Tuhan bukan hanya pada waktu susah dan bukan pada bulan Ramadan saja tetapi jadikanlah Ramadan sebagai madrasah untuk mendidik hati agar sentiasa istiqamah dalam kebaikan.

Manusia akan berjaya selagi mana meletakkan diri dalam beragama. Untuk mengubah dunia bermula dengan diri sendiri. Kegemilangan zaman rasululah sangat berkait rapat dengan pembentukan kekuatan rohani dan jasmani yang banyak dilakukan di masjid. Sebaliknya manusia akan binasa apabila kepatuhan hatinya lari daripada pandangan Tuhan.

Adapun apabila ingin menyambut tetamu kita akan mempersiap diri dan rumah dengan begitu cantik, begitulah juga keadaaan untuk menyambut Ramadan, antara yang boleh dilakukan menambah pelbagai ilmu. Hanya dengan ilmu kita dapat mengubah perspektif dan mendalami sesuatu hikmah itu. Selain itu, memperbanyakkan puasa sunat untuk membiasakan diri dan memperbanyakkan membaca al-Quran bagi mendidik hati sungguh-sungguh mencari Tuhan dan bergantung harap kepada-Nya.

Masyarakat berperanan menarik lebih ramai jemaah dengan mengubah mentaliti bahawa penempatan khas untuk kanak-kanak ketika solat adalah sesuatu yang tidak perlu. Saf kanak-kanak tidak perlu dijarak dan dijauhkan daripada orang dewasa. Selain itu,tidak memandang serong kepada ibu yang membawa anak-anak kecil. Bulan Ramadan inilah masa tepat untuk menarik remaja, kanak-kanak untuk berjinak dengan masjid agar masjid menjadi tempat yang lebih tenang dan disukai berbanding di tempat-tempat hiburan.

Hasil didikan hati sebelum Ramadan tiba pasti lebih membuat umat Islam bersedia menghadapi Ramadan dan merebut peluang keemasan ini

Daripada Abu Hurairah r.a., Daripada Nabi Muhamad SAW, Baginda bersabda, maksudnya;

“Sesungguhnya bagi masjid-masjid itu ada pasak-pasaknya, para malaikat menjadi teman mereka, jika mereka tidak hadir para malaikat akan mencari mereka, jika mereka sakit, para malaikat akan menziarahi mereka, jika mereka  mempunyai sesuatu keperluan, para malaikat akan membantu mereka. Bersabda lagi rasulullah, orang yang duduk di masjid berada di atas tiga perkara; saudara yang memberikan faedah, perkataan-perkataan yang mengandungi hikmah atau rahmat yang dinani-nanti.” (Diriwayat oleh imam Ahmad dalam musnadnya).
    
Dunia adalah jambatan menuju akhirat, demikianlah kelebihan bagi jiwa-jiwa yang memakmurkan masjid, tempat yang suci menjadi pusat perhimpunan yang menyatupadukan umat Islam. – HARAKAHDAILY 22/5/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia