Nasihat Tuan Ibrahim kepada anak muda

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan anak muda tidak membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah.

Advertisement

Beliau berkata, ini kerana masa adalah umur semua insan.

Katanya apabila masa berlalu, ia tidak akan kembali lagi.

“Dunia semakin jauh meninggalkan kamu, dan akhirat semakin dekat denganmu.

“Jangan biarkan lidahmu diam tanpa zikrullah, di saat mana anggota lain melakukan kerja, biarlah lidahmu terus berzikir, agar ianya mampu membantumu di akhirat nanti,” katanya menerusi laman facebooknya.

Katanya, beliau masih teringat kata-kata bekas Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat,  sewaktu menasihati anak perempuannya.

“Berapa puluh kali lidahmu mampu berzikir sementara kamu menunggu ikan yang digoreng akan masak, maka jangan biarkan lidahmu diam. Basahlah bibirmu dengan zikrullah. Jangan biarkan masa berlalu tanpa manfaat”.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan anak muda tidak habiskan masa dengan telefon bimbit.

Ini katanya, alat telekomunikasi tersebut benar-benar telah merampas waktu mereka daripada melakukan kerja yang lebih bermanfaat. – HARAKAHDAILY 30/8/2017