Merdeka perlukan pengorbanan

mohd nor

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar
Walillahilhamd

Advertisement

Alahmdulillah segala puji bagi Allah yang menciptakan alam ini. Syukur juga pada tahun ini, kita bakal menyambut Hari Kemerdekaan berselang sehari dengan Eidul Adha. Oleh itu, saya gabungkan kedua-dua topik penting ini di dalam perutusan ini.

Kemerdekaan di dalam Islam, mempunyai maksud yang sangat luas dan relevan dengan tugas kita sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Perkataan kemerdekaan atau kebebasan sering digunakan oleh Islam apabila mujahid-mujahid Islam berjaya dalam peperangan dengan sesebuah kerajaan kuffar. Islam tidak menggunakan penjajahan kepada kemenangan ini. Memberikan makna bahawa, Islam ditugaskan membebaskan atau memerdekakan sesebuah negara atau masyarakat itu dari perhambaan kepada tuhan yang salah kepada perhambaan kepada tuhan yang sebenar-benarnya, yang tiada sekutu, esa dan maha berkuasa ke atas segalanya iaitu Allah dan bukan menjajah.

Tugas memerdekakan ini tidak hanya dilihat kepada skop yang sangat khusus sahaja seperti perang berhadapan dengan musuh yang nyata sebagaimana peperangan Badar, Uhud, Ahzab dan lain-lain. Tetapi kemerdekaan ini juga termasuk membebaskan diri sendiri daripada belitan nafsu, godaan syaitan ataupun dosa-dosa yang sering melingkari kehidupan kita. Jika sekiranya kita telah berjaya membebaskan diri kita daripada semua godaan-godaan ini, maka kita telah memerdekakan diri kita dalam erti kata yang sebenarnya. Sebagaimana ashabul ukhdud yang matinya dalam keadaan merdeka kerana pada waktu itu, hanya dia yang beriman kepada Allah dan setelah matinya dia, seluruh rakyat juga turut mati demi kerana beriman kepada Allah yang satu.

Kegagalan kita melihat daripada skop dalaman dan berusaha merubahnya inilah yang bakal menyebabkan kita akan sentiasa gagal juga dalam usaha bagi membebaskan masyarakat, negara ataupun dunia daripada. Lihatlah bagaimana rasulullah saw membentuk satu kekuatan masyarakat yang beriman dengan memulakannya daripada dalam dirinya dan keluarga baginda sendiri. Baginda memberikan contoh akhlak terpuji sebagai tawaran jualan baginda kepada masyarakat baginda yang rosak ketika itu. Baginda adalah seorang manusia merdeka yang terulung. Inilah contoh terbaik bagi membawa manusia lain kepada Allah. Namun, mampukah kita?

Bagaimanakah kita mahu berjaya melepasi godaan syaitan dan penguasaan hawa nafsu jika akhlak kita masih lagi tidak ada bezanya dengan mad’u (sasaran dakwah) kita? Kita tidak memberikan gambaran wajah sebenar Islam dalam dakwah kita. Tiada tawaran menarik yang boleh kita tawarkan kepada sasaran kita. Orang Islam masih dijajah oleh sikap tamak, pembaziran, penyelewengan, fitnah dan pelbagai contoh-contoh buruk yang terpalit dengan nama Islam. Tidak boleh disalahkan kepada bukan Islam jika mereka tidak dapat menerima Islam yang kita bawakan. Bagi merealisasikan seruan Allah bagi membawa semua manusia kepada perhambaan sebenar-benarnya hanya kepada Allah, maka kita perlukan pengorbanan.

Allah telah menukilkan perjalanan pengorbanan nabiNya Ibrahim beserta keluarga baginda dalam al-Quran demi kerana mahu menjadi hamba Allah yang sejati dengan membuang kesyirikan bahkan juga membuang ayahnya demi kerana Allah. Tidak terhenti di situ sahaja, baginda juga terpaksa meninggalkan anak dan isterinya di tengah tanah yang kontang dan tandus demi kerana Allah. Hebatnya iman sang isterinya apabila tidak mengeluh apapun setelah mengetahui ianya adalah perintah Allah kerana percaya Allah tidak akan mempersia-siakan mereka berdua.

Diperintahkan pula untuk menyembelih anak kesayangannya Ismail. Namun bukan bantahan daripadanya anaknya, tetapi galakan supaya  disembelih kerana kepercayaan kepada Allah yang tidak berbelah bahagi. Begitulah kisah perjalanan keluarga mulia ini yang kemudiannya diberikan pujian yang selayaknya dalam ucapan selawat yang dipanggil selawat terbaik iaitu selawat Ibrahimiyyah. Bahkan nabi Ibrahim juga digelar sebagai bapa kepada semua agama di dunia ini kerana lahirnya Yahudi, Nasrani dan Islam adalah melalui benih baginda. Nabi Ibrahim telah memerdekakan diri, keluarga dan masyarakat baginda dengan menjadikan Allah yang esa sebagai tuhan yang mesti disembah.

Dengan mengambil peringatan daripada kisah para nabi ini yang berkorban bagi memerdekakan diri kita, maka perlulah kita memilih satu wadah atau jemaah yang menunjukkan corak atau bentuk yang mengikut acuan al-Quran dan sunnah bagi menyelamatkan diri kita daripada kegelinciran iman akibat daripada kejahilan masyarakat mengenal panduan ke jalan yang Allah redhai. Mestilah kita sentiasa melalui jemaah bersama-sama berganding bahu memperbaiki diri kita bagi menjadi perisai bukan sahaja kepada diri kita dan keluarga, malah juga kepada negara yang kta cintai ini.

Semakin membarah dosa dan noda yang dicipta oleh manusia-manusia yang tidak amanah di dalam negara kita, yang bakal menyebabkan kita juga akan menerima bala daripada Allah. Marilah kita bersama-sama dengan PAS, menyelamatkan negara kita ini daripada kegagalan pemerintah untuk membawa kita semakin dekat dengan Allah, malah semakin jauh daripada Allah. Peluang anda terbuka luas di dalam PRU nanti bagi membina negara dan masyarakat yang lebih baik, yang lebih dekat dengan Allah. Marilah kita bersama-sama memerdekakan negara ini daripada kejahilan.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar
Walillahilhamd

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
9 Zulhijjah 1438 / 31 Ogos 2017 – HARAKAHDAILY 31/8/2017