Seruan solat hajat, qunut nazilah buat Islam Rohingya

KEKEJAMAN tentera Myanmar yang sedang melakukan penghapusan etnik dengan menyeksa serta membunuh seramai mungkin masyarakat Islam Rohingya berterusan sehingga kini. Etnik Muslim Rohingya terus dizalimi bahkan mereka telah dinafikan hak kewarganegaraan serta mereka dianggap sebagai penceroboh sedangkan mereka telah menetap di situ berabad lamanya.

Advertisement

DDrMahfodzKewajipan mempertahankan saudara-saudara kita di sana adalah wajib dan terpundak di bahu kita semua tanpa mengira jenama politik. ASEAN, OIC dan PBB mesti bertegas dan melakukan sesuatu khasnya dalam sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang akan berlangsung pada pertengahan September ini di New York.

Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru seluruh umat Islam untuk membantu melalui apa jua saluran yang mampu. Para Khatib hendaklah mengajak umat Islam agar mendoakan saudara kita di sana pada setiap kali khutbah jumaat. Solat hajat dan qunut nazilah wajib dilaksanakan di semua peringkat dalam usaha kita menentang sebarang kekejaman yang telah dilakukan. Hal ini juga selari dengan seruan Kesatuan Ulamak Islam Sedunia yang menyeru agar para khatib membaca khutbah khas sebagai solidariti kepada umat Islam Rohingya.

Sesungguhnya kezaliman tidak akan berpanjangan dan akan tiba suatu masa hari kehancuran musuh umat Islam. Allah berfirman:

وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنْكُمْ شُهَدَاءَ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِين

Maksudnya: “Dan hari-hari (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah ingin memberi bukti kebenaran kepada orang beriman dan menjadikan di antara kamu sebagai syuhada’. Allah tidak menyukai orang-orang yang berlaku zalim”.(Aali-Imran:140)

USTAZ DATUK DR. MAHFODZ MOHAMED
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
17 Zulhijjah 1438H / 8 September 2017 – HARAKAHDAILY 8/9/2017