PAPISMA bantah, ‘kiddie pack’ rosakkan generasi

rokok

DENGAN ini Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) mengambil ketetapan untuk membantah cadangan daripada pihak-pihak tertentu untuk meluluskan penjualan bungkusan rokok bersaiz kecil (kiddie pack). Kami bersama dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan yang lain akan terus memberi desakan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak agar tidak melayan cadangan dari beberapa persatuan pengusaha kedai kopi dan restoran pada Ogos lalu.

Advertisement

drsuhainiKesan-kesan buruk amat banyak telah dibuktikan melalui kajian saintifik dan kajian sosial berkaitan dengan tabiat merokok ini. Penjualan rokok secara bungkusan kecil ini akan menambahkan lagi peluang kepada kanak-kanak dan wanita untuk mendapatkannya dengan mudah. Sedangkan pihak Kerajaan Malaysia sejak dari 2010 lagi telah mengharamkan penjualan rokok ‘kiddie pack’ ini. Hasil dari Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan (NHMS 2015) oleh dari Institut Kesihatan Umum (IKU) memberi mesej jelas kepada kita bahawa 1 dari 10 kanak-kanak belasan tahun dalam negera kita terjebak dalam ketagihan merokok. Amat membimbangkan lagi bahawa 71% dikalangan kanak-kanak yang belum mencapai umur 14 tahun berjinak-jinak dengan rokok. Jika ‘kiddie pack’ ini diluluskan, boleh kita bayangkan jumlah kanak-kanak yang akan bergelumang dengan kebejatan rokok ini akan bertambah.

Adakah kerajaan ingin merungkai semula perjanjian yang telah termeterai bersama dengan Framework Convention on Tobacco Control (FCTC)? Sehingga kini Malaysia masih lagi utuh mempertahankan perjanjian tersebut, setaraf dengan negara-negara maju lain seperti Australia, New Zealand dan lain-lain. Kajian antarabangsa yang telah dijalankan oleh FCTC juga menyebut bahawa “Mana-mana organisasi yang memperkenalkan semula polisi serta penjualan semula rokok bungkus bersaiz kecil ini sebagai tindakan terkebelakang dan melemahkan polisi kawalan tembakau”. Seterusnya boleh menimbulkan polemik kesihatan yang berlarutan di dalam sesebuah negara.

Kami menggesa Kerajaan Malaysia dan semua pihak yang cintakan kesejahteraan negara yang ingin hidup dalam suasana bebas dari asap rokok agar:

1) Hentikan segera segala bentuk promosi, iklan atau pemberitaan yang mengandungi unsur-unsur menghidupkan semula penjualan rokok samada bungkusan bersaiz kecil ataupun besar.

2) Menggandakan lagi langkah tegas penguatkuasaan di pintu-pintu masuk negara agar rokok tidak sewenang-wenangnya diseludup masuk.

3) Memberi kuasa yang lebih luas kepada pihak yang berwajib bagi menjalankan penguatkuasaan akta larangan morokok dan segala bentuk aktiviti berkaitan dengannya.

4) Menambah lagi kawasan-kawasan yang digazet sebagai Bebas Asap Rokok sebagaimana contoh Melaka Bebas Asap Rokok, Kelantan Bebas Asap Rokok, Terengganu Bebas Asap Rokok dan lain-lain lagi.

5) Pihak kerajaan tempatan digesa supaya serius dalam melaksanakan kempen-kempen gaya hidup sihat dan bebas dari asap rokok di kalangan rakyat.

Dengan ini sekali lagi PAPISMA akan terus menjalankan tanggungjawab kami sebagai sebuah NGO yang efektif bagi menyedarkan masyarakat agar senantiasa berada dalam keadaan sihat dan jauhi gaya hidup yang boleh merosakkan diri.

#BantahKiddiePack

Dato’ Dr Suhaini Kadiman
Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA)